Skip to main content

Iklan

Iklan

Kes COVID-19 serata dunia naik semula, WHO awasi subvarian Delta

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang menjejaki dengan teliti subvarian Delta bagi menentukan sama ada ia lebih mudah berjangkit berbanding strain asal berikutan peningkatan semula kes COVID-19 di seluruh dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes COVID-19 serata dunia naik semula, WHO awasi subvarian Delta

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 28 Oct 2021 07:25AM Dikemas Kini : 28 Oct 2021 07:28AM

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang menjejaki dengan teliti subvarian Delta bagi menentukan sama ada ia lebih mudah berjangkit berbanding strain asal berikutan peningkatan semula kes COVID-19 di seluruh dunia.

WHO turut mengkaji sama ada manusia lebih berdaya tahan terhadap subvarian dikenali AY.4.2, yang dikesan di sekurang-kurangnya 42 negara.

"Peningkatan dalam urutan AY.4.2 diperhatikan sejak Julai lalu," menurut WHO dalam kemas kini epidemiologi mingguannya.

"Kajian epidemiologi dan makmal sedang dijalankan untuk melihat sama ada terdapat perubahan dalam penularan varian atau penurunan keupayaan antibodi manusia untuk menyekat virus itu," kata WHO.

Subvarian itu mempunyai tiga mutasi tambahan berbanding varian Delta yang asal, dengan sekitar 93 peratus kes melibatkan subvarian itu dikesan di Britain, menurut data yang dimuat naik ke inisiatif sains global GISAID.

Ia juga menyumbang kepada kira-kira 5.9 peratus daripada semua kes Delta yang dilaporkan di Britain dalam tempoh seminggu bermula 3 Oktober.

Menurut WHO lagi peningkatan jumlah kes dalam kalangan mereka yang berumur di bawah 25 tahun juga dilaporkan sejak awal Julai, khususnya di Eropah dan Pasifik Barat.

Ini mungkin disebabkan penduduk lebih tua sudah diberi vaksin, atau golongan muda lebih cenderung bergaul secara sosial.

Kemungkinan juga virus menular di sekolah dengan lebih ramai golongan muda kembali menjalani pembelajaran bersemuka di bilik darjah.

WHO menyatakan, pihaknya mempunyai data mengenai 123 juta kes COVID-19 yang dicatatkan dengan 51 peratus adalah wanita.

Bagaimanapun lelaki menyumbang kepada 58 peratus daripada kes kematian.

Dalam kalangan mereka yang berumur lebih 65 tahun, kadar kematian menurun sejak September 2020, kata WHO.

Ini mungkin disebabkan lebih ramai individu dalam kumpulan umur itu diberi vaksin selain penjagaan klinikal yang lebih baik.

Menurutnya, setakat ini 47 peratus penduduk dunia menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Sumber : AFP/SU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan