Kes COVID-19 di Indonesia meningkat jangkaui 25,000; angka korban cecah 1,520
Kes positif COVID-19 di Indonesia terus meningkat sehingga melepasi 25,000 kes, dengan jumlah kematian kini 1,520 orang.
Seorang peniaga di sebuah pasar tradisional menjalani ujian swab di Depok, berhampiran Jakarta, Indonesia, pada 16 Mei 2020. (Gambar: Asprilla Dwi Adha/Antara Foto menerusi REUTERS)
JAKARTA: Kes positif COVID-19 di Indonesia terus meningkat sehingga melepasi 25,000 kes, dengan jumlah kematian kini 1,520 orang.
Menurut jurucakap pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 24 jam sejak 12.00 tengah hari Khamis (28 Mei), terdapat sebanyak 678 tambahan kes positif baru, manakala sebanyak 24 lagi kematian berlaku dalam tempoh berkenaan.
"Jumlah kes positif kini 25,216 kes, ketika ini juga seramai 12,499 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19," katanya di sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.
Jakarta mencatatkan jumlah keseluruhan kematian tertinggi setakat ini iaitu berjumlah 509 kes, namun mencatatkan kematian sifar sejak beberapa hari lalu.
Perkembangan situasi itu memungkinkan pelonggaran beberapa peraturan di bawah pelaksanaan Pembatasan Sosial Beskala Besar (PSBB) yang berkuat kuasa sehingga 4 Jun ini.
Presiden Indonesia Joko Widodo dan Gabenor Jakarta Anies Baswedan seperti dilaporkan media tempatan mengadakan perbincangan bagi mewujudkan beberapa protokol baru dalam pelaksanaan normal baru di ibu kota yang berpenduduk lebih 10 juta orang itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.