Skip to main content

Iklan

Iklan

Kes baru tempatan COVID-19 di China paling tinggi dalam tempoh 6 minggu

China mencatat jumlah kes baru harian tempatan COVID-19 paling tinggi dalam tempoh lebih enam minggu pada Jumaat (29 Okt) sedang negara itu memerangi penularan yang sebahagian besarnya berlaku di wilayah-wilayah bahagian utara.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes baru tempatan COVID-19 di China paling tinggi dalam tempoh 6 minggu

Gambar: AFP

Diterbitkan : 30 Oct 2021 01:40PM Dikemas Kini : 30 Oct 2021 01:43PM

SHANGHAI: China mencatat jumlah kes baru harian tempatan COVID-19 paling tinggi dalam tempoh lebih enam minggu pada Jumaat (29 Okt) sedang negara itu memerangi penularan yang sebahagian besarnya berlaku di wilayah-wilayah bahagian utara.

China melaporkan 59 kes baru tempatan pada 29 Oktober, menurut Suruhanjaya Kesihatan Nasional hari ini (30 Okt), naik berbanding 48 sehari sebelumnya. Ia merupakan jumlah kes baru tempatan paling tinggi sejak 16 September.

Sebahagian besar kes baru tempatan dikesan di bahagian utara China dengan kes-kes dilaporkan di Heilongjiang, Pedalaman Mongolia, Gansu, Beijing dan Ningxia, lapor Reuters.

Termasuk kes yang diimport dari luar negara, China mencatat 78 kes baru COVID-19 pada 29 Oktober, naik berbanding 64 kes pada hari sebelumnya.

China juga melaporkan 24 kes baru tanpa gejala yang diklasifikasikan sebagai berbeza daripada kes yang disahkan. Jumlah kes sedemikian lebih tinggi berbanding 23 sehari sebelumnya.

Reuters melaporkan, tiada kematian dilaporkan lantas angka korban kekal tidak berubah pada 4,636.

Meskipun bilangan kes itu rendah berbanding negara-negara lain, penularan baru-baru ini memaksa para pegawai untuk mengetatkan lagi sekatan, menjejas sektor khidmat termasuk pelancongan dan syarikat katering.

Bandar-bandar China di kawasan sempadan berdepan risiko lebih tinggi mengalami jangkitan dari luar negara dan dengan sumber yang agak kurang, cenderung mengalami lebih banyak gangguan berbanding bandar-bandar lebih mewah.

Di Pedalaman Mongolia, kerajaan di Ejina Banner, iaitu sebuah kawasan pentadbiran terpencil di sempadan China dan Mongolia, menyatakan ia akan memindahkan lebih 9,400 pengunjung yang terkandas di kawasan berisiko rendah dalam hari-hari mendatang, lapor China Daily.

Ejina Banner paling teruk terjejas oleh penularan terkini dan ia dikenakan sekatan pergerakan minggu lalu. 18 daripada kes-kes baru tempatan COVID-19 yang dilaporkan di China pada Sabtu adalah di Alxa League, daerah yang merangkumi Ejina Banner.  

Sumber : Reuters/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan