Skip to main content

Kes baru COVID-19 kekal tiga angka di M'sia; 354 jangkitan & 6 kematian dilapor

Jumlah kes harian COVID-19 di Malaysia bagi tempoh 24 jam lalu kekal tiga angka dengan 354 kes dicatatkan selain enam kematian baru turut dilaporkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes baru COVID-19 kekal tiga angka di M'sia; 354 jangkitan & 6 kematian dilapor

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 09 Oct 2020 10:20PM Dikemas Kini : 09 Oct 2020 10:22PM

KUALA LUMPUR: Jumlah kes harian COVID-19 di Malaysia bagi tempoh 24 jam lalu kekal tiga angka dengan 354 kes dicatatkan selain enam kematian baru turut dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 14,722, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan berjumlah 3,863 kes.

Beliau berkata Sabah merekodkan jumlah kes harian baru paling tinggi dengan 274 kes berikutan lebih banyak aktiviti saringan dijalankan di lapangan, terutama di tujuh daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.

“Di Kedah hanya mencatatkan 10 kes susulan kejayaan kawalan bagi Kluster Tembok.

“Di Selangor sebanyak 24 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 10 kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dua kes,” katanya di sidang media menerusi laman Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini (9 Okt).

Dr Noor Hisham berkata di Sarawak pula terdapat 10 kes, Pulau Pinang (8), Johor dan Terengganu masing-masing lima kes, Negeri Sembilan (4) dan masing-masing satu kes di Perak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata daripada kes baru itu, 352 adalah kes penularan tempatan manakala baki dua lagi merupakan kes import melibatkan warga tempatan yang masing-masing pulang dari India dan Oman.

Bagi kes penularan dalam negara, beliau berkata 332 kes adalah warga tempatan dan 20 lagi merupakan rakyat asing.

“Daripada jumlah kes penularan dalam negara, 23 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekali gus menjadikan jumlah (terkumpul) kes dengan sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sep kini sebanyak 324 kes,” katanya.

Mengenai enam kematian baru, Dr Noor Hisham berkata kesemua kes itu melibatkan warga tempatan di Sabah, sekali gus menjadikan jumlah kes maut akibat COVID-19 di negara ini kini sebanyak 152 kes.

Beliau berkata dua kematian dicatatkan di Hospital Tawau melibatkan lelaki berusia 54 (kematian ke-147) dengan latar belakang penyakit darah tinggi serta semput dan wanita berusia 58 tahun (kematian ke-150).

Katanya lagi, Hospital Semporna juga merekodkan dua kematian iaitu lelaki berusia 68 tahun (kematian ke-148) dan wanita berumur 57 tahun (ke-151) yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi.

“Hospital Queen Elizabeth turut melaporkan dua kematian, membabitkan wanita berumur 66 tahun (kematian ke-149) dengan penyakit kencing manis, darah tinggi dan batuk kering (PTB) serta lelaki berusia 64 tahun (ke-152) dengan penyakit bengkak kelenjar prostat (BPH),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 188 kes pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 10,707 kes atau 72.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau juga berkata buat masa ini terdapat 68 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 25 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita