Skip to main content

Iklan

Iklan

Kerajaan M'sia tidak gagal, tidak lumpuh, kata Menteri Mustapa Mohamad

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Malaysia Mustapa Mohamed berkata pentadbiran kerajaan Malaysia masih lagi berfungsi seperti biasa dan berkesan dalam memastikan ekonomi negara termasuk nasib rakyat terus terbela dalam tempoh pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia tidak gagal, tidak lumpuh, kata Menteri Mustapa Mohamad

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 10 Jul 2021 03:27PM Dikemas Kini : 10 Jul 2021 03:30PM

JELI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Malaysia Mustapa Mohamed berkata pentadbiran kerajaan Malaysia masih lagi berfungsi seperti biasa dan berkesan dalam memastikan ekonomi negara termasuk nasib rakyat terus terbela dalam tempoh pandemik COVID-19.

Beliau berkata walaupun terdapat kekurangan, setiap pemimpin negara itu terbuka dengan segala kritikan serta pendapat pelbagai pihak khususnya mereka yang terdiri daripada pakar dalam bidang tertentu bagi menambah baik kelemahan yang ada.

"Kerajaan gagal bermakna ia lumpuh tetapi di Malaysia, Alhamdulillah pentadbiran dan institusi awam termasuk swasta masih berjalan seperti biasa, malah semua ahli politik juga bekerja untuk memastikan nasib rakyat terbela.

"Kita (kerajaan) tidak sempurna dan kita akan terus berbincang untuk menangani segala krisis terutama aspek kesihatan dan ekonomi kerana rakyat mengharapkan pembelaan daripada semua pemimpin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas mengagihkan sumbangan di bawah Program Bantuan Bakul Makanan menerusi pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) kepada penduduk Kampung Berdang, di Jeli, Kelantan, hari ini (10 Jul).

Encik Mustapa berkata kerajaan akan cuba sebaik mungkin demi kebaikan negara dengan merangka pelbagai strategi, antaranya menerusi pakej-pakej bantuan yang diumumkan sebelum ini.

Mengenai Program Bantuan Bakul Makanan itu, Mustapa berkata sebanyak 6,000 bakul makanan akan diedarkan di seluruh Parlimen Jeli melalui penghulu mukim, pihak masjid dan pemimpin masyarakat kepada golongan yang memerlukan dan dijangka selesai dalam tempoh seminggu.

"Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Jeli telah mengagihkan 33,800 bakul makanan kepada penduduk yang terjejas akibat COVID-19 sejak Mac 2020. Ini merupakan bantuan berterusan daripada kerajaan, pejabat Ahli Parlimen dan para dermawan untuk memastikan makanan ada di atas meja setiap rakyat dan tidak ada yang tertinggal.

"Bagi masyarakat dalam Parlimen Jeli yang memerlukan bantuan atau sekiranya ada mana-mana pihak yang tercicir daripada menerima bantuan, mereka bolehlah datang ke Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Jeli," ujarnya lanjut.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan