Skip to main content

Iklan

Iklan

Kerajaan beri amaran M'sia belum bebas COVID-19 meski lebih banyak sekatan dilonggarkan

Bagi ‘kaki wayang’ dan penggemar filem tempatan, mahupun antarabangsa, pengumuman kerajaan semalam (22 Jun) untuk membenarkan pawagam kembali beroperasi bermula 1 Julai depan, sudah tentu merupakan satu berita gembira.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan beri amaran M'sia belum bebas COVID-19 meski lebih banyak sekatan dilonggarkan

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 23 Jun 2020 11:50AM Dikemas Kini : 23 Jun 2020 11:55AM

KUALA LUMPUR: Bagi ‘kaki wayang’ dan penggemar filem tempatan, mahupun antarabangsa, pengumuman kerajaan semalam (22 Jun) untuk membenarkan pawagam kembali beroperasi bermula 1 Julai depan, sudah tentu merupakan satu berita gembira.

Selepas hampir tiga bulan terpaksa menonton ‘layar kecil’ di rumah dengan rancangan dan filem lama yang disiarkan berulang kali, baik menerusi siaran televisyen digital percuma mahupun stesen televisyen berbayar, kelonggaran yang diberikan ini amat dinanti-nantikan.

Antara filem yang dijadual untuk ditayangkan di pawagam adalah filem perisikan British terkenal, ‘James Bond: No Time To Die’, yang sepatutnya ditayangkan pada April lalu, namun terpaksa ditunda berikutan penularan wabak COVID-19.

Turut ‘beratur’ menunggu giliran untuk ditayangkan termasuk filem francais Marvel ‘Black Widow’; filem keluaran Walt Disney Pictures ‘Mulan’, serta filem seram ‘Antlers’ dan ‘Antebellum’.

Bukan sahaja dapat menonton wayang, kerajaan turut memutuskan untuk membenarkan aktiviti teater dan 'live event', serta riadah kolam renang di kolam renang awam, hotel, kondominium, komuniti berpagar dan kolam renang persendirian.

Kebenaran yang sama juga diberikan bagi penganjuran mesyuarat, persidangan, seminar, kursus atau latihan.

Namun dalam keghairahan terhadap kelonggaran demi kelonggaran yang diberikan, aspek kawalan kendiri serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP), yang ditetapkan oleh kerajaan perlu terus diutamakan.

Sudah tentu, pihak berkuasa tidak mahu kes jangkitan COVID-19 di Malaysia kembali meningkat dan wujud kembali kelompok bar, dek kealpaan dan kegagalan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Lihat sahaja apa yang berlaku tiga hari lalu, apabila timbul kelompok di Labu Lanjut, Sepang, yang menjangkiti lima individu setakat ini, yang dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung-mengunjung.

Walaupun jumlahnya hanya satu angka, tidak mustahil angka itu akan meningkat serta timbul lagi kelompok baru seumpamanya, jika aspek kawalan kendiri termasuk amalan jarak sosial diabaikan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri beberapa hari lalu turut mengeluarkan amaran tentang 'fasa baru dan berbahaya' pandemik COVID-19, apabila orang ramai mula bosan dengan perintah berkurung dan kawalan pergerakan, sedangkan virus itu masih merebak.

Berjaya atau tidak usaha untuk memutuskan rantaian pandemik ini, banyak bergantung kepada usaha rakyat sendiri, kerana Malaysia hanya boleh mengumumkan bebas daripada jangkitan COVID-19 sekiranya tiada kes baru direkodkan dalam tempoh 28 hari.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan