Skip to main content

Iklan

Iklan

Kenal pasti kos lain yang bebani masyarakat, bantu akses khidmat jagaan kesihatan lebih baik

Meskipun pemerintah menyediakan skim-skim kesihatan, ia juga perlu menghubungkan penduduk kepada khidmat kebajikan dan dana sosial perubatan yang relevan. Pegawai khidmat sosial pula dapat membantu mengenal pasti kos dan pembiayaan lain yang membebani mereka, selain kos perubatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kenal pasti kos lain yang bebani masyarakat, bantu akses khidmat jagaan kesihatan lebih baik

Calon PAP di GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim. (Gambar: Petikan skrin PAP/Facebook)

SINGAPURA: Meskipun pemerintah menyediakan skim-skim kesihatan, ia juga perlu menghubungkan penduduk kepada khidmat kebajikan dan dana sosial perubatan yang relevan. Pegawai khidmat sosial pula dapat membantu mengenal pasti kos dan pembiayaan lain yang membebani mereka, selain kos perubatan.

Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim menyarankan demikian dalam rapat online hari ini (5 Jul), berhubung kemampuan dan akses kepada jagaan kesihatan.

"Saya rasa secara amnya, skim CHAS amat baik sekali dari segi pendampingan. Bagaimanapun, mereka yang saya temui bimbang mengenai kos yang lebih tinggi, melibatkan jagaan penyakit kronik - apa yang akan terjadi kepada mereka," kata beliau.

Ini terutamanya bagi mereka yang tidak ada pelan insurans.

Calon PAP di GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim. (Gambar: Petikan skrin PAP/Facebook)

PENDUDUK MINTA RUANG KECERGASAN UNTUK KEKAL AKTIF

Encik Zhulkarnain juga berkongsi bahawa masyarakat kini lebih menjalani gaya hidup aktif, memandangkan 35 peratus penduduk bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sebanyak tiga kali seminggu.

Bahkan, perangkaan ini juga seiring dengan dapatan beliau sendiri semasa bertemu penduduk.

"Mereka meminta ruang kecergasan, kemudahan berbilang generasi yang bakal dibina di Chua Chu Kang serta taman permainan lebih besar di mana orang ramai boleh bergaul dan melakukan senaman.

"Bagi saya, penuaan juga bermakna kesejahteraan diri dan hubungan baik antara manusia," ujar beliau.

AMALAN BAIK DI TENGAH COVID-19

Semasa hadir di rancangan 'Straight Talk With PAP' itu bersama Menteri Gan Kim Yong dan Dr Lam Pin Min bagi membincangkan isu kesihatan dan kesejahteraan diri, Encik Zhulkarnain turut melahirkan rasa berbesar hati melihat ramai orang mempraktikkan amalan baik di tengah-tengah krisis COVID-19.

"Apabila saya membuat lawatan rumah ke rumah, ada yang meletakkan papan tanda supaya meminta penghantar makanan meninggalkan bungkusan di tempat tertentu. Agak berbesar hati melihat mereka mempraktikkan amalan yang baik," ujarnya.

Malah, kata Encik Zhulkarnain, seorang penduduk juga berkongsi beliau amat merindui cucu-cucunya dan tidak dapat berjumpa mereka setelah sekian lama bagi membendung penularan virus tersebut.

"Jika kita tidak berkorban untuk apa yang kita inginkan, apa yang kita mahu itu nanti perlu pula menjadi korban kemudian.

"Saya berharap datuk itu dapat berjumpa cucunya dengan lebih kerap sebaik sahaja keadaan kembali seperti sedia kala," kata beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan