Kemerosotan kadar ujian COVID-19 di India cetus kebimbangan pihak berkuasa
Kadar ujian COVID-19 di India yang semakin merosot mengancam untuk menjejaskan usaha negara itu mengawal pandemik.

Para doktor di India. (Gambar: AFP)
NEW DELHI: Kadar ujian COVID-19 di India yang semakin merosot mengancam untuk menjejaskan usaha negara itu mengawal pandemik.
Demikian menurut kementerian kesihatan persekutuan India hari ini (24 Nov) dalam utusannya kepada pemerintah-pemerintah negeri, sedang kebimbangan memuncak berhubung gelombang-gelombang baru jangkitan COVID-19 di merata dunia.
Hari ini, India melaporkan 9,283 kes baru, sehari selepas mencatat 7,579 kes - jumlah paling rendah dalam 543 hari. Namun, dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, jumlah ujian COVID-19 yang dijalankan hanya sekitar satu juta sehari, kurang separuh daripada keupayaannya.
"Tanpa ujian mencukupi pada kadar yang konsisten, sukar untuk mengenal pasti kadar penularan jangkitan di satu-satu tempat," kata Setiausaha Kesihatan Rajesh Bhushan dalam surat yang dikirimkan ke Nagaland, iaitu wilayah timur laut di India, yang kadar ujiannya merosot lebih sepertiga dalam dua bulan.
"Dengan kebanyakan negara kebelakangan ini berulang kali berdepan lonjakan kes COVID-19 dan sebilangan negara maju pula berdepan gelombang keempat dan kelima jangkitan meskipun mencatat kadar tinggi vaksinasi, terdapat keperluan untuk terus berjaga-jaga memandangkan penyakit ini tidak dapat diduga dan mudah berjangkit."
Kementerian juga sudah memberikan amaran yang sama kepada wilayah-wilayah lain. Namun, amaran-amaran itu juga mengandungi kenyataan-kenyataan yang lebih khusus mengikut keadaan di wilayah-wilayah tersebut.
Setakat ini, India melaporkan 34.5 juta kes COVID-19. Hanya Amerika Syarikat yang mencatat jumlah keseluruhan kes lebih tinggi. Angka korban jiwa di India juga naik 437 ke 466,584 hari ini.
Para petugas kesihatan di India sudahpun memulakan kempen vaksinasi pintu-ke-pintu kerana puluhan juta penduduk di negara itu masih belum menerima suntikan dos kedua sebelum tarikh tamat tempoh.
Setakat ini, India sudah memberi 1.18 bilion dos vaksin - sekurang-kurangnya satu dos bagi 82 peratus daripada 944 juta penduduk dewasa dan dua dos bagi 44 peratus daripada mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.