Skip to main content

Kementerian Kesihatan M'sia tidak bercadang beri vaksin campuran selagi tiada bukti kukuh

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak bercadang untuk melaksanakan pemberian dua jenis vaksin COVID-19 kepada seorang penerima berikutan tiada data kukuh mengenai kaedah itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kementerian Kesihatan M'sia tidak bercadang beri vaksin campuran selagi tiada bukti kukuh

Orang ramai beratur menunggu giliran untuk vaksinasi COVID-19 di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 31 Mei 2021. (Gambar: Lim Huey Teng/REUTERS)

Diterbitkan : 14 Jul 2021 09:52AM Dikemas Kini : 14 Jul 2021 09:54AM

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak bercadang untuk melaksanakan pemberian dua jenis vaksin COVID-19 kepada seorang penerima berikutan tiada data kukuh mengenai kaedah itu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, setakat ini, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga tidak menerima sebarang data, laporan atau bukti daripada syarikat pembuat vaksin mengenai kaedah campuran vaksin yang berjaya mengawal jangkitan COVID-19.

"Kita masih memerhatikan keadaan ini (campuran vaksin) kalau ada keperluan untuk melaksanakannya. Buat masa ini, tiada keperluan lagi.

"Terutama kalau campur vaksin barat dan timur contoh seperti Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, tiada bukti lagi ia berjaya," katanya dalam sidang media khas di Putraya pada Selasa (13 Jul).

Beliau berkata KKM tidak boleh mengesyorkan kaedah itu jika tiada bukti kerana perlu memastikan pemberian vaksin yang selamat kepada orang ramai.

"Jika ada kajian baru, kita boleh nasihatkan sama ada boleh campur vaksin atau tidak," tambah beliau.

Awal dari itu, media melaporkan Thailand bakal memberikan vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca sebagai suntikan dos kedua kepada individu yang menerima Sinovac sebagai dos pertama. Ia merupakan sebahagian daripada strategi imunisasi negara itu.

Dr Noor Hisham juga berkata kadar vaksinasi negara perlu ditingkatkan sehingga ke tahap 40 peratus bagi mengurangkan atau melandaikan kes baru jangkitan COVID-19.

Beliau menekankan ia perlu dilaksanakan segera kerana pada masa ini, Malaysia berada dalam tempoh kritikal ekoran jangkitan kes yang meningkat kepada lima angka.

Dr Noor Hisham menambah kadar vaksinasi yang tinggi juga mampu mengelakkan jumlah kematian tinggi seperti di United Kingdom iaitu satu kematian daripada setiap 50 orang pada Januari ketika penduduknya tidak divaksinasi.

"Setelah divaksinasi, angka kematian adalah satu bagi setiap 1,000 orang dan ada juga penurunan kemasukan ke hospital.

“Penting bagi kita mendapatkan vaksin sekarang bagi mengurangkan kemasukan ke hospital dan ICU (Unit Rawatan Rapi)," tegasnya sambil menambah setakat ini, kadar vaksinasi negara ialah 11.3 peratus.

Dr Noor Hisham berkata pemberian vaksin juga terbukti dapat mengurangkan kesan teruk dijangkiti COVID-19.

Beliau berkata selepas enam minggu pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa dua iaitu melibatkan warga emas, komorbid dan orang kurang upaya, ia didapati kemasukan ke wad bagi pesakit 60 tahun dan ke atas semakin berkurangan.

“Sebaliknya, peningkatan kita lihat pada usia muda dan mereka yang belum divaksin," ujarnya. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita