Skip to main content

Iklan

Iklan

Kementerian Kesihatan M'sia digesa ikut jejak S'pura dedah data lokasi COVID-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta supaya mengikut jejak langkah Singapura dengan mengeluarkan data mengenai lokasi yang terkena jangkitan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Kementerian Kesihatan M'sia digesa ikut jejak S'pura dedah data lokasi COVID-19

Orang ramai berjalan di luar sebuah kedai di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 2 Okt 2020. (Gambar: Lim Huey Teng/REUTERS)

Diterbitkan : 20 Oct 2020 05:40PM Dikemas Kini : 20 Oct 2020 05:44PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta supaya mengikut jejak langkah Singapura dengan mengeluarkan data mengenai lokasi yang terkena jangkitan COVID-19.

Anggota Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata, mungkin terdapat tanggapan bahawa berkongsi data itu boleh menyebabkan suasana panik, tetapi dakwaan itu tidak berasas jika dilihat daripada pengalaman Singapura.

"Sebenarnya, perkongsian maklumat secara berkala secara telus akan membina keyakinan orang ramai terhadap pihak berkuasa kesihatan kerana orang ramai dapat menyesuaikan diri dengan maklumat yang tepat daripada pihak berkuasa kesihatan," katanya kepada Malaysiakini.

Buat masa ini, kementerian tersebut hanya mendedahkan daerah di mana kluster-kluster tertentu dikesan, tetapi tidak memberikan maklumat mengenai lokasi yang tepat, lapor Malaysiakini.

Ini berbeza dengan Singapura, yang menerbitkan senarai tempat terkini yang dikunjungi oleh mereka yang dijangkiti oleh COVID-19, selama lebih dari 30 minit.

"Ini tidak menimbulkan rasa panik di Singapura tetapi pastinya ia membina keyakinan dari semasa ke semasa," katanya.

Menurut Malaysiakini, Encik Ong turut berkata bahawa langkah menyediakan data lokasi yang terhad sebenarnya boleh menyebabkan lebih banyak masalah.

"Sebagai contoh, jika ada berita bahawa ada kes di Puchong, tetapi tidak mengenal pasti bahagian Puchong yang mana - ini boleh menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk di seluruh daerah Puchong.

"Sedangkan jika lokasi tersebut dikenal pasti dan langkah-langkah yang perlu diambil, maka penduduk di lokasi yang terjejas dapat mengambil langkah berjaga-jaga dan mereka yang tidak berada di lokasi yang terjejas tidak perlu panik," katanya.

Tiada makluman sedemikian daripada MySejahtera.

Sebelum ini aplikasi pengesanan kontak di Malaysia, MySejahtera dikritik kerana tidak memaklumkan terdapat kes yang dikesan di lokasi tertentu ketika pengguna mendaftar masuk, lapor Malaysiakini.

Ini berlaku setelah beberapa pusat beli-belah di Lembah Klang mengeluarkan kenyataan untuk memaklumkan pelanggan mengenai jangkitan COVID-19 di premis mereka.

Sebagai respons, pengesan 'hotspot' hanya memasukkan lokasi yang terjejas "berdasarkan siasatan oleh Kementerian Kesihatan mengenai sumber jangkitan yang pasti dan mungkin".

Baru-baru ini, pengunjung juga naik berang setelah mendapati jangkitan diumumkan oleh pasar raya Tesco di cawangan Mutiara Damansara, tetapi cawangan itu tetap dibuka dan mereka yang mendaftar masuk dengan MySejahtera tidak dimaklumkan oleh aplikasi tersebut.

Sehingga kini, satu-satunya agensi Kementerian Kesihatan yang menyediakan data lokasi ialah Jabatan Kesihatan Kedah, yang menerbitkan lokasi kawasan kediaman atau kampung di mana kes dikesan setiap hari.

Encik Ong berkata ini adalah amalan baik yang harus dicontohi oleh jabatan kesihatan negeri yang lain.

Komen beliau dibuat berikutan laporan Malaysiakini bahawa usaha kerajaan Selangor tempang dalam memerangi COVID-19 selepas KKM tidak lagi berkongsi data penting berkenaan kes positif.

Kerajaan negeri itu juga kesal apabila aplikasi pengesanan kontak Selangkah yang dibangunkannya diketepikan setelah MySejahtera dilancarkan, yang seterusnya menghadkan usaha pengumpulan data mereka.

Pasukan Petugas Selangor bagi COVID-19 sebelum ini menggunakan data terperinci mengenai jangkitan yang dikongsi oleh KKM untuk melengkapkan langkah-langkah kesihatan awam.

Ini termasuk menutup premis di mana wabak dikesan dan melancarkan ujian percuma di kawasan atau populasi berisiko tinggi.

Menjawab perkara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata negeri-negeri berkenaan "tidak pernah diberi kuasa untuk mengambil peranan pengawasan dan kesihatan masyarakat".

Sebaliknya, kerajaan negeri harus menyelaraskannya dengan jabatan kesihatan negeri dalam hal membabitkan kesedaran dan pendidikan orang ramai.

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan