Skip to main content

Iklan

Iklan

Kelahiran bayi tepat pada 12.00 tengah malam iringi sambutan ulang tahun S'pura ke-56

Sambutan ulang tahun Singapura ke-56 hari ini diserikan lagi dengan kelahiran seorang bayi perempuan tepat pada 12.00 tengah malam tadi (9 Ogos) di Pusat Perubatan Thomson.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sambutan ulang tahun Singapura ke-56 hari ini diserikan lagi dengan kelahiran seorang bayi perempuan tepat pada 12.00 tengah malam tadi (9 Ogos) di Pusat Perubatan Thomson.

Anak sulung kepada Cik Teo Hui Xian, 33 tahun, dan Encik Liu Yong Feng Derek, 35 tahun, itu dilahirkan dengan berat 2.53 kilogram.

(Gambar: Pusat Perubatan Thomson)

Dua pasang suami isteri Melayu/Islam turut menyambut kelahiran anak mereka sejurus selepas tengah malam tadi.

QAIZER UWAIS LAHIR PADA 12.02 PAGI

Dua minit selepas 12.00 tengah malam, tangisan Qaizer Uwais Muhammad Azree memecah keheningan malam di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK.

Ini selepas ibunya, Cik Nur Farah Hilmiyyah Abdul Rahim, 29 tahun, menahan sakit selama lebih 21 jam lamanya dan akhirnya selamat melahirkan bayi seberat 4.1 kilogram itu secara normal.

(Gambar: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK)

Anak kedua pasangan Cik Farah dan Encik Muhammad Azree Aszeman itu antara yang terawal dilahirkan pada ulang tahun Singapura yang ke-56.

Meskipun dilahirkan 10 hari lebih awal, bayi yang dilahirkan pada usia 38 minggu itu tetap membawa keceriaan berlipat ganda kepada ibu bapanya.

Encik Azree berkongsi kegembiraan beliau: "Dia bukan istimewa dalam segi NDP saja, saya rasa dia punya keistimewaan sebab dia pada hari Isnin, 1 Muharram juga, tahun baru Islam, NDP juga. Jadi ada banyak keistimewaannya."

"Jadi kami agak teruja dengan apa sahaja yang mendatang dengan kelahiran anak lelaki ini.

"Harapan semoga dia terus berjaya dari segi apa jua yang dia ceburi insya-Allah. Kami akan sentiasa menyokongnya," tambah Cik Farah.

DELYSHA AURELEA LAHIR PADA 12.42 PAGI

Bagi Cik Noor Aisha Mohd Azman yang berusia 31 tahun pula, beliau memang berhasrat untuk melahirkan anak ketiganya pada Hari Kebangsaan, meskipun bayinya dijangka dilahirkan pada 18 Ogos.

(Gambar: Saifudin Mahmod)

"Saya dan suami memang kita rancang untuk Hari Kebangsaan. Sebenarnya kita nak sasarkan tengah malam tapi memandangkan 'dilation' hanya 5 cm, saya redhalah.

"Saya cakap tak mengapa, asalkan dia keluar selepas tengah malam saya okey, asalkan bayi selamat sebenarnya," kata Cik Aisha.

Bayi perempuan yang diberi nama Delysha Aurelea Saifudin itu selamat dilahirkan secara normal di Pusat Perubatan Thomson pada 12.42 pagi dengan berat 3.56 kilogram pada usia 38 minggu.

(Gambar: Saifudin Mahmod)

Meskipun ahli keluarga dan saudara-mara mereka belum dapat melihat bayi perempuan itu secara semuka, Cik Aisha dan suaminya Encik Saifudin Mahmod mengalu-alukan 'keramaian' secara maya selepas keluar hospital kelak.

MIKAYLA FARISHTA LAHIR PADA 10.02 PAGI

Di Hospital Raffles pula, seorang bayi yang diberi nama Mikayla Farishta Mohammad Faizal selamat dilahirkan pada 10.02 pagi tadi dengan berat 2.51 kilogram.

(Gambar: Dr Jazlan Joosoph)

Bayi kepada Cik Mardhiah Osman dan Encik Mohammad Faizal Rohim itu juga anak perempuan ketiga mereka, selepas melahirkan anak kembar sebelum ini.

Sebagai anak-anak yang berkongsi ulang tahun dengan Singapura, para ibu bapa mereka berharap anak-anak mereka itu masing-masing dapat berbakti kepada keluarga dan negara pada masa depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan