Skip to main content

Iklan

Iklan

Kelab KTV terbabit kelompok COVID-19 ditutup untuk pembasmian kuman

 Sekurang-kurangnya satu daripada tiga kelab karaoke yang berhubung kait kelompok baru COVID-19, ditutup bagi kerja-kerja pembasmian kuman dan sedang menyemak semula langkah pengurusan selamat cawangan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Kelab KTV terbabit kelompok COVID-19 ditutup untuk pembasmian kuman

Supreme KTV di Far East Shopping Centre. (Gambar-gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 13 Jul 2021 08:04PM Dikemas Kini : 13 Jul 2021 08:10PM

SINGAPURA: Sekurang-kurangnya satu daripada tiga kelab karaoke yang berhubung kait kelompok baru COVID-19, ditutup bagi kerja-kerja pembasmian kuman dan sedang menyemak semula langkah pengurusan selamat cawangan tersebut.

Supreme KTV, yang pada masa ini beroperasi sebagai kedai makanan dan minuman, akan ditutup selama beberapa hari "bagi memastikan kerja-kerja pembasmian kuman menyeluruh dan protokol ditetapkan", kata pengurusnya yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Li.

"Selama ini, kami mematuhi protokol namun kami akan menyemak semula protokol itu," kata Encik Li yang merujuk kepada langkah pengurusan selamat yang diketatkan seperti menjaga jarak selamat dan memakai pelitup.

Kedai di Far East Shopping Centre itu adalah salah satu daripada tiga premis yang dikaitkan dengan jangkitan COVID-19 dalam kalangan sekumpulan pelayan warga Vietnam yang mengunjungi kelab KTV yang kini beroperasi sebagai cawangan F&B, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Kelompok itu mempunyai lapan kes setakat tengah hari tadi (13 Jul).

Lagi dua premis yang berhubung kait kelompok itu adalah Empress KTV di Tanglin Shopping Centre dan Club Dolce di Balestier Point.

Empress KTV di Tanglin Shopping Centre. 

PELAYAN KEMUNGKINAN BESAR ADALAH PELANGGAN: PENGURUS SUPREME KTV

Terdapat enam hingga tujuh kakitangan di Supreme KTV yang sudah disuruh menjalani kuarantin, kata Encik Li.

Beliau menambah bahawa kesemua pekerja itu menggunakan kit ujian untuk melakukan sendiri ujian COVID-19 dan diuji negatif pada Isnin malam (12 Jul).

Beliau juga menekankan bahawa kelab itu tidak menggajikan pelayan dan tidak kenal pelayan warga Vietnam yang berjangkit itu. Tambahnya, mereka kemungkinan adalah pelanggan.

Meskipun demikian, MOH menyatakan ia akan melakukan operasi ujian khas bagi semua kakitangan kelab terjejas "untuk mengesan dengan pantas sebarang kes jangkitan dalam masyarakat".

Ujian percuma COVID-19 juga ditawarkan kepada mereka yang telah mengunjungi tiga cawangan itu atau sebarang kelab serupa yang beroperasi sebagai cawangan F&B antara 29 Jun dengan 12 Jul.

Mereka yang berinteraksi dengan pelayan-pelayan Vietnam itu pada tempoh yang sama juga boleh menjalani ujian percuma tersebut.

PERSATUAN PERNIAGAAN KELAB MALAM "KECEWA"

Presiden Persatuan Perniagaan Kelab Malam Joseph Ong berkata "sangat malang" melihat kelompok sedemikian.

Menurutnya: "Kami tidak pasti bagaimana pelayan itu dapat mengunjungi premis-premis itu - tentunya, ia sesuatu yang tidak dibenarkan.

"Jadi kami kecewa (ia berlaku), walaupun pada hakikatnya ia sangat jelas ... bahawa kelab atau kedai minuman tidak sepatutnya melakukan lagi perniagaan sedemikian."

Apabila ditanya tentang kemungkinan pelayan itu adalah pelanggan, dan bukan pekerja, Encik Ong berkata "ia satu kemungkinan".

Namun menurutnya, tidak kira apa pun, seharusnya tiada pergaulan antara mereka dengan pelanggan-pelanggan yang lain - lantas menimbulkan kelompok baru itu kerana "mungkin" telah melanggar langkah pengurusan selamat.

Encik Ong menambah: "Pemain industri yang melakukan peralihan perlu berhati-hati tentang bagaimana mereka mengendalikan perniagaan dan mematuhi langkah pengurusan selamat."

"Peraturan itu dijelaskan kepada semua orang dan (pihak persatuan) sekali lagi akan memaklumkan perlunya mematuhi garis panduan itu."

Sumber : CNA/HA/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan