Skip to main content

Iklan

Iklan

Kebanyakan syarikat sokong gaji minimum S$1,400 pekerja setempat

Sebahagian besar syarikat yang menggajikan pekerja hijrahan tidak bimbang tentang membayar gaji minimum  sebanyak S$1,400kepada pekerja rakyat tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kebanyakan syarikat sokong gaji minimum S$1,400 pekerja setempat

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 02 Sep 2021 09:46AM Dikemas Kini : 02 Sep 2021 09:53AM

SINGAPURA: Sebahagian besar syarikat yang menggajikan pekerja hijrahan tidak bimbang tentang membayar gaji minimum sebanyak S$1,400 kepada pekerja rakyat tempatan. Namun, sesetengah firma berharap dapat menerima subsidi gaji buat sementara waktu kerana kenaikan gaji bagi kakitangan tempatannya akan menjejas hasil pendapatan bersihnya.

Bagi firma-firma yang mengeksport barangannya, seperti sektor pengilangan, ia menyatakan membayar gaji lebih tinggi kepada pekerja rakyat Singapura pada masa hadapan mungkin akan menjejas daya saingnya di pasaran sejagat.

Mediacorp menghubungi firma-firma ini beberapa hari selepas Perdana Menteri Lee Hsien Loong, dalam ucapannya sempena Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) pada

Ahad (29 Ogos), membentangkan rancangan untuk meningkatkan mata pencarian pekerja bergaji rendah dalam jangka panjang.

Antaranya adalah mensyaratkan syarikat-syarikat yang mengambil pekerja hijrahan untuk membayar semua kakitangan tempatan "gaji kelayakan" yang ditetapkan pada S$1,400 sebulan.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menjelaskan lanjut pada Isnin bahawa pekerja sambilan warga Singapura di firma yang mengambil pekerja hijrahan perlu dibayar sekurang-kurangnya S$9 setiap jam. Peraturan baru itu akan berkuat kuasa September 2022.

TINGKATKAN KEMAHIRAN, DAYA HASIL PEKERJA

LS 2 Services, sebuah syarikat perkhidmatan alam sekitar dan pembersihan, menyatakan firmanya akan menjajarkan dasarnya dengan peraturan MOM dan akan "menimbangkan untuk menyediakan insentif wajar bagi mengekalkan bakat dalam tenaga kerjanya".

Syarikat itu menggajikan sekitar 200 pekerja, suku daripadanya adalah warga asing dari Malaysia, China dan Vietnam, antara negara lain.

Pengarah perkhidmatan korporat Tan Wei Ying berkata untuk baki pekerja tempatannya, segelintir pekerja pembersihannya menerima gaji kurang S$1,400 dan membawa pulang sekitar S$1,200 sebulan.

Tentang bagaimana kenaikan gaji pekerja akan menjejas kos operasi firma itu, beliau menjawab mereka akan bekerjasama dengan pelanggan untuk saling menguntungkan kedua-dua pihak.

Bagi firma pengendalian tugas di darat, Dnata, pengarah urusannya Musdalifa Abdullah berharap Pemerintah akan menyediakan subsidi untuk menyokong kenaikan gaji. Ini, jelas beliau, akan "membolehkan kami untuk terus melabur dalam latihan dan menajamkan kemahiran pekerja kami serta meningkatkan daya penghasilan tenaga kerja kami".

Beliau bagaimanapun tidak pula menyatakan jumlah pekerja di firmanya yang akan meraih manfaat daripada dasar itu. Namun, beliau berkata kenaikan gaji akan mempunyai kesan pada kedudukan kewangan syarikat tetapi ia adalah satu "pelaburan dalam pekerja kami".

Firma keselamatan Certis menyatakan ia menyokong keperluan yang diperluaskan bagi gaji kelayakan untuk warga tempatan dan ia menyemak gaji pekerjanya dengan kerap.

“Selain itu, kami menyediakan gaji tambahan untuk menyokong pekerja kami dan keluarga mereka sewaktu masa mencabar ini."

Meskipun Certis tidak menyatakan jumlah pekerja yang akan meraih manfaat daripada peraturan beru itu, laman pengambilan pekerja jobstreet.com.sg menunjukkan pendapatan bagi jawatan pegawai khidmat pelanggan dalam industri jagaan kesihatan bermula dari S$1,200.

KHUATIR KURANG BERDAYA SAING

Syarikat-syarikat dalam sektor pengilangan yang diwawancara Mediacorp secara amnya tidak terjejas dengan peraturan baru itu. Namun, ia menyatakan ia bimbang tentang masa hadapan sekiranya gaji kelayakan bagi warga tempatan terus meningkat kerana ia akan menjejas keupayaannya untuk berdaya saing di peringkat sejagat.

Encik Ryan Ng, pengurus besar firma pengilangan Chong Fong Engineering, berkata syarikatnya menggajikan kedua-dua pekerja Singapura serta warga asing dan kesan pada firmanya tidak begitu dirasai. Pekerja tempatan di syarikatnya dibayar gaji sekitar S$2,000 hingga S$3,000.

Keprihatinan lebih mendalam beliau adalah sekiranya penyesuaian dibuat pada masa hadapan dan gaji kelayakan bagi warga tempatan meningkat sehingga melebihi S$2,000.

PM Lee berkata dalam ucapannya bahawa gaji kelayakan akan disesuaikan "dari semasa ke semasa".

“Kami prihatin kerana pada jangka panjang, industri pengilangan biasanya menyaksikan daya saing eksport yang tinggi," ujar Encik Ng.

Sekiranya kos eksport syarikat naik kerana kos buruh meningkat, ini bermakna syarikatnya, yang mengilangkan produk berkaitan aeroangkasa, akan menjadi kurang berdaya saing berbanding syarikat-syarikat pengeluaran asing.

TERTEKAN UNTUK TERUS PASTIKAN HARGA RENDAH

Memberikan responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, Persatuan Restoran Singapura menyatakan, dengan pengendali makanan dan minuman (F&B) tertakluk kepada gaji kelayakan (bagi mereka yang mengambil pekerja hijrahan) dan Model Gaji Progresif (PWM), harga makanan akan meningkat.

PWM menetapkan syarat gaji minimum bagi pekerja dengan tahap kemahiran berbeza dan mewajibkan kenaikan gaji seiring dengan latihan serta kemahiran para pekerja.

Model gaji itu akan dikuatkuasakan terhadap sektor-sektor runcti, perkhidmatan makanan dan pengurusan sisa seawal September tahun depan.

“Sektor F&B juga tidak terlepas daripada cabarannya seperti kos sewa yang tinggi dan meningkat secara berterusan, kekangan tenaga kerja yang teruk dan kos bahan mentah yang meningkat," jelas persatuan itu.

“Dengan kadar GST akan dinaikkan dalam masa terdekat, pengendali F&B akan dibebani dengan tekanan untuk mengekalkan harga sesetengah makanan pada paras sedia ada." 

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan