Skip to main content

Iklan

Iklan

Kawasan sekitar Pentas Terapung Marina Bay ditutup, tidak ramai berkumpul di kawasan berhampiran sewaktu Perbarisan Istiadat

Kawasan Marina Bay yang lazimnya dibanjiri lautan manusia dengan pakaian berona merah dan putih, tidak begitu meriah tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kawasan Marina Bay yang lazimnya dibanjiri lautan manusia dengan pakaian berona merah dan putih, tidak begitu sesak tahun ini.

Biasanya, orang ramai akan berkerumun di kawasan-kawasan seperti Jambatan Helix, Jambatan Jubilee dan kawasan Marina Bay Sands.

Bagaimanapun, kawasan-kawasan itu ditutup kepada khalayak ramai dari 12 tengah malam hingga 2.30 petang hari ini (9 Ogos).

Tambahan lagi, Perbarisan istiadat Hari Kebangsaan dijalankan tanpa kehadiran penonton yang terdiri daripada kalangan masyarakat umum.

Namun, dengan penutupan kawasan-kawasan tersebut, ia tidak mematah semangat rakyat Singapura untuk menyambut Hari Kebangsaan Singapura yang ke-56.

Ramai di antara mereka yang tetap cuba mencari sudut-sudut dan kawasan yang masih dapat dikunjungi orang ramai bagi merasakan suasana NDP seperti tahun-tahun sebelum pandemik melanda.

Mereka yang ada di sana, meskipun hanya dapat melihat Perbarisan Istiadat dari jauh, tetap gembira kerana masih dapat menyaksikan acara terbang lalu bendera negara dengan lebih jelas lagi.

Acara terbang lalu bendera Singapura itu melibatkan helikopter CH-47 Chinook dengan diiringi dua helikopter AH-64 Apache Longbow.

Selain itu, mereka juga dapat menonton aksi jet-jet pejuang F-15SG yang terbang dalam formasi delta melintasi kawasan Pentas Terapung Marina Bay.

Antara yang ditemui BERITAmediacorp pagi tadi adalah Encik Zickry Ahmad, 38 tahun.

Beliau yang datang bersama keluarganya berkata: "Kita nak tengok perbarisan NDP, tetapi tutup kan. Jadi salah satu cara yang boleh kita tengok adalah datang ke kawasan ini di depan The Promontory @ Marina Bay untuk lihat acara terbang lalu bendera negara. Pengalaman tahun ini berbeza juga sebab banyak yang tutup kan, jadi kita cuba tonton dari mana yang boleh."

Bagi Cik Noraishah Anwar, 43 tahun, yang datang bersiar-siar di kawasan tersebut bersama keluarganya pula, tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan acara itu secara langsung.

"Hari ini saya bawa keluarga untuk melihat dan merasai suasana perbarisan. Yang paling penting adalah apabila kita menyanyikan Lagu Kebangsaan dan melafazkan ikrar, itu yang lebih penting untuk kita menyambut hari kebangsaan," jelas Cik Noraishah.

Bagi membangkitkan semangat Hari Kebangsaan, mereka sekeluarga lengkap berpakaian warna merah dan putih.

"Saya berasa seronok tetap dapat lihat perbarisan istiadat walaupun dari jauh tetapi tetap berpuas hati dapat lihat dan dengar aksi-aksinya" ujar anaknya, Cik Nur Aaliyah, 17 tahun.

Disebabkan sebahagian besar kawasan Marina Bay ditutup kepada orang awam, sebilangan penduduk sebaliknya pergi ke tempat-tempat lain seperti Taman Di Persisiran (Timur) serta Jambatan Benjamin Sheares, untuk menyaksikan acara terbang lalu bendera negara serta aksi jet-jet pejuang F-15SG secara langsung.

Namun begitu, jumlahnya tidak begitu ramai jika berbanding tahun-tahun sudah.

Sepanjang sekitar sejam kru BERITAmediacorp berada di kawasan Taman Di Persisiran (Timur) pagi tadi, hanya kira-kira 50 orang sahaja yang hadir di situ sewaktu berlangsungnya Perbarisan Istiadat Hari Kebangsaan.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan