Kakitangan barisan hadapan bertugas di sempadan negara perlu jalani PCR setiap minggu
Mulai 2 Disember, para petugas barisan hadapan yang bertugas di lapangan terbang dan sempadan negara yang mungkin berurusan dan bersentuhan dengan para pelawat dari rantau dan wilayah yang terjejas oleh varian Omicron perlu kembali menjalani rejim mingguan RRT-PCR.
Gambar: Changi Airport Group
SINGAPURA: Mulai 2 Disember, para petugas barisan hadapan yang bertugas di lapangan terbang dan sempadan negara yang mungkin berurusan dan bersentuhan dengan para pelawat dari rantau dan wilayah yang terjejas oleh varian Omicron perlu kembali menjalani rejim mingguan Ujian Rutin Berkala (RRT) Tindak Balas Rantai Polimerase (PCR).
Ini kerana sempadan Singapura adalah "benteng pertahanan pertama terhadap penularan varian Omicron," jelas Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan medianya pada Selasa (30 Nov).
Buat masa ini, bergantung kepada kategori risiko, para pekerja di lapangan terbang dikehendaki menjalani RRT menggunakan Ujian Pantas Antigen (ART) sekali atau dua kali setiap tujuh hari.
Bercakap di sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19, pengerusi bersama Encik Lawrence Wong menyifatkan langkah untuk kembali ke ujian mingguan PCR-RRT sebagai satu "langkah dipertingkatkan".
Beliau juga merujuk kepada para pekerja barisan hadapan yang bertugas di sempadan negara sebagai mereka yang merangkumi "para pekerja yang bekerja di lapangan terbang atau pusat-pusat pemeriksaan laut dan darat yang lain atau sesiapa saja yang bertugas di sempadan negara yang mungkin mempunyai kontak dengan para pelawat."
Menurut MOH, anak kapal yang bertugas dalam pesawat dari negara-negara yang terjejas juga perlu menjalani ujian PCR sebaik tiba di Singapura di samping menjalani ujian PCR pada hari ketiga dan ketujuh mereka berada di sini selepas setiap penerbangan.
Para pekerja barisan hadapan yang lain di lapangan terbang dan sempadan negara akan terus menjalani rejim RRT berasaskan ART sedia ada. Tetapi "sebagai langkah berjaga-jaga tambahan", para individu sedemikian dengan hasil positif ujian ART perlu menjalani ujian pengesahan PCR.
Kementerian itu juga menambah bahawa kesemua pekerja barisan hadapan yang bertugas di sempadan negara, termasuk mereka yang sudah sembuh, perlu menjalani RRT.
"Ini bagi membolehkan kita mengesan dengan lebih baik kes-kes yang berpotensi dijangkiti varian Omnicron di sempadan kita tepat pada masanya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.