Skip to main content

Kadar berlakunya kesan sampingan dos penggalak COVID-19 serupa suntikan dua dos sebelumnya: HSA

Mereka yang memperoleh dos penggalak vaksin mRNA COVID-19 dan disyaki mengalami kesan sampingan serta kekerapan ia berlaku adalah serupa dengan yang dikaitkan dengan dua dos suntikan pertama sebelum ini, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Selasa (16 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Nov 2021 03:27PM Dikemas Kini : 16 Nov 2021 09:28PM

SINGAPURA: Mereka yang memperoleh dos penggalak vaksin mRNA COVID-19 dan disyaki mengalami kesan sampingan serta kekerapan ia berlaku adalah serupa dengan yang dikaitkan dengan dua dos suntikan pertama sebelum ini, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Selasa (16 Nov).

"Tiada pertambahan didapati kepada kekerapan berlakunya kesan itu," tambah HSA dalam satu kemas kini keselamatan iaitu yang ketujuh daripada pihak itu meliputi tempoh sejak vaksin diberikan pada 30 Disember tahun lalu hingga 31 Oktober.

Sebanyak 200 kes disyaki kesan sampingan atau 0.02 peratus dilaporkan dalam kalangan 854,268 individu yang mendapatkan suntikan penggalak sejak ia pertama kali diberikan pada 15 September. Kesan sampingan itu berhubung kait vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty atau Moderna/Spikevax.

Ia termasuk mata, muka dan bibir bengkak, tidak selesa di dada, debaran jantung, lelah, demam, rasa lemah dan pening.

Terdapat 10 laporan kesan sampingan yang serius atau 0.001 peratus daripada suntikan yang diberikan. Mereka mengadu mengalami miokarditis, sawan, pembekuan darah, kurang sel darah, cecair berlebihan dan alahan teruk menyebabkan bengkak pada kulit.

"Oleh sebab dos penggalak baru diberikan, HSA terus memantau dengan teliti kesan-kesan sampingan yang dilaporkan dan akan memaklumkan kepada orang ramai tentang sebarang perkembangan penting yang dikesan serta mengambil tindakan kawal selia relevan sewajarnya," katanya lagi.

PERANGKAAN MRNA

Lebih 9.95 juta dos vaksin Pfizer dan Moderna sudahpun diberikan. Sebanyak 13,334 kes disyaki kesan sampingan dilaporkan atau 0.13 peratus. Ini berbanding 0.14 peratus setakat 30 September.

Kesan sampingan paling kerap dilaporkan adalah serupa dengan yang biasa dialami selepas mendapatkan vaksinasi, menurut HSA. Ini termasuk alahan, rasa pening, lelah, tidak selesa di dada, debaran jantung, serta tindak balas di tempat suntikan.

"Ini biasanya akan hilang selepas beberapa hari," tambah HSA.

Sebanyak 634 laporan disenaraikan sebagai kesan sampingan serius, sebahagian besarnya melibatkan anafilaksis dan tindak balas alahan teruk yang lain. Ia membentuk 0.006 peratus daripada keseluruhan dos yang diberikan, iaitu tidak berubah berbanding kemas kini sebelum ini.

Anafilaksis "adalah tindak balas buruk yang secara amnya dikaitkan dengan vaksin. Kadar berlakunya anafilaksis di sini serupa dengan yang dilaporkan di luar negara", menurut HSA.

Bagi pelajar berusia 12 tahun hingga 18 tahun, pihak berkuasa itu menerima 798 laporan kesan sampingan atau 0.13 peratus sejak vaksin mula diberikan kepada golongan usia tersebut pada 3 Jun.

Kes miokarditis dan perikarditis yang jarang berlaku dilaporkan bagi suntikan vaksin mRNA COVID-19 di luar negara dan di sini. Masing-masing disebabkan keradangan otot jantung dan lapisan luar jantung.

"Sebahagian besar kes bertindak balas secara positif kepada rawatan dan sudahpun pulih atau keluar hospital dalam keadaan sembuh sepenuhnya".

VAKSIN LAIN

Sebanyak 206,722 dos vaksin Sinovac-CoronaVac diberikan dengan 171 disyaki kes kesan sampingan dilaporkan (0.08 peratus) termasuk 14 kes serius (0.007 peratus).

Bagi 48,697 dos vasin Sinopharm yang diberikan, 17 kes disyaki kesan sampingan (0.03 peratus) dilaporkan, termasuk satu kes serius (0.002 peratus) .

"Harus maklum bahawa jenis dan bilangan laporan yang diterima bagi vaksin COVID-19 yang berbeza tidak boleh dibandingkan secara langsung dengan vaksin-vaksin yang digunakan dalam program vaksinasi bagi tempoh masa yang berlainan," menurut HSA.

"Vaksin COVID-19 yang tidak diaktifkan hanya diberikan kepada sejumlah kecil penduduk (kurang 3 peratus) penduduk berbanding jumlah jauh lebih ramai yang diberikan vaksin mRNA," tambah HSA.  

Sumber : CNA/SM/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita