Jurutera PUB antara 4 kes baru COVID-19 dalam masyarakat; semuanya berhubung kait
Sebanyak empat kes baru COVID-19 dalam masyarakat dilaporkan di Singapura pada Isnin (28 Jun), menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Orang awam menyeberang jalan. (Gambar: Marcus Mark Ramos)
SINGAPURA: Sebanyak empat kes baru COVID-19 dalam masyarakat dilaporkan di Singapura pada Isnin (28 Jun), menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Kesemuanya berhubung kait dengan kes terdahulu dan sudah dikuarantin.
Salah satu kes COVID-19 dalam masyarakat berhubung kait dengan kelompok Blok 105 Henderson Crescent, yang kini mempunyai 13 jangkitan positif kesemuanya.
Lelaki berusia 60 tahun, yang dikenal pasti sebagai Kes 64499, bekerja di Lam Chuan Import-Export. Beliau dikenakan kuarantin pada 26 Jun.
Lelaki itu tidak bergejala dan dikesan apabila beliau diuji bagi COVID-19 semasa menjalani kuarantin. Hasil ujiannya kembali positif pada 27 Jun. Beliau sudahpun melengkapkan vaksinasinya.
Tiga lagi kes dalam masyarakat yang mempunyai hubung kait adalah lelaki berusia 37 tahun yang bekerja di Best Denki sebagai pemasang televisyen, pesara berumur 81 tahun dan lelaki berusia 56 tahun yang bekerja sebagai seorang jurutera di PUB.
Ketiga-tiga lelaki itu sudahpun dikuarantin setelah mereka dikenal pasti sebagai anggota keluarga dan kontak isi rumah kes COVID-19 sebelum ini.
KES IMPORT
Terdapat lima kes import baru dan kesemuanya dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sejurus tiba di Singapura. Dua daripada mereka adalah rakyat Singapura yang pulang dari Pakistan.
Sementara itu, dua lagi kes tiba dari Indonesia - seorang pemegang pas pelajar dan seorang pemegang permit kerja.
Satu lagi kes merupakan lelaki Indonesia yang ditangkap kerana memasuki perairan Singapura tanpa dokumen yang sah. Lelaki itu diberkas oleh pegawai daripada Polis Pengawal Pantai dan diuji bagi COVID-19 semasa menjalani pengasingan.
Tiada kes baru dilaporkan di dormitori pekerja hijrahan.
Secara keseluruhan, sembilan kes COVID-19 dilaporkan di Singapura pada Isnin.
Bilangan kes yang dilaporkan hari ini adalah yang terendah sejak 9 Jun apbila empat kes dilaporkan. Jumlah kes dalam masyarakat juga adalah yang paling rendah sejak 11 Jun apabila terdapat tiga kes.
Sehingga Isnin, Singapura melaporkan 62,553 kes COVID-19 keseluruhannya dengan 36 kematian akibat penyakit itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.