Skip to main content

Iklan

Iklan

Jururawat Muslim 'bersyukur' dapat pakai tudung; hospital swasta akan menyusul

Para jururawat Muslim mengalu-alukan berita bahawa para jururawat dalam sektor jagaan kesihatan awam akan dibenarkan memakai tudung bersama pakaian seragam, jika mereka mahu, mulai November.

Anggaran Waktu Membaca:
Jururawat Muslim 'bersyukur' dapat pakai tudung; hospital swasta akan menyusul

Gambar fail kakitangan kesihatan di luar Hospital Tan Tock Seng pada 30 Apr 2021 (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 31 Aug 2021 08:11AM Dikemas Kini : 31 Aug 2021 12:14PM

SINGAPURA: Para jururawat Muslim mengalu-alukan berita bahawa para jururawat dalam sektor jagaan kesihatan awam akan dibenarkan memakai tudung bersama pakaian seragam, jika mereka mahu, mulai November.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (29 Ogos).

"Saya amat bersyukur, sungguh gembira apabila saya mendengar berita itu. Sudah agak lama sejak kami meminta ia dibenarkan. Terdapat rasa lega. Saya sampai menitiskan air mata, rasa sedikit emosi," kongsi seorang jururawat yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Wati.

Wanita Melayu/Isla berusia 36 tahun itu sudah bekerja sebagai seorang jururawat di Hospital Besar Singapura (SGH) selama 16 tahun. Katanya, beliau tidak menjangkakan berita itu kerana sudah "putus harapan" bahawa beliau akan dibenarkan untuk memakai tudung di tempat kerja.

Cik Wati buat masa ini memakai tudung sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja, membukanya sewaktu bekerja dan memakainya semula sewaktu pulang ke rumah.

"Ada sebabnya mengapa tudung amat penting dalam masyarakat Muslim. Memakai tudung adalah sebahagian daripada perjalanan rohani dalam mendekati Tuhan. Apabila kami bekerja sebagai seorang jururawat, tugas kami adalah untuk merawat orang lain. (Memakai tudung) sejajar dengan apa yang kami percaya dengan (tugas kami) membantu orang lain," kata beliau kepada Mediacorp.

"Ia sesuatu dalam hati kami dan akhirnya kami boleh mengamalkannya, sebagai sebahagian daripada masyarakat."

Sama sepertinya, jururawat 33 tahun, Cik Aishah Sulaiman "amat gembira apabila mendapat tahu" tentang berita itu.

"Ia tidak menghalang saya daripada melakukan tugas saya, tetapi (dibolehkan memakai tudung) akan membuat perjalanan ulang-alik saya lebih mudah," kata Cik Aishah, yang bekerja di sebuah hospital awam.

Cik Aishah menambah beliau yakin kebanyakan jururawat Muslim di Singapura menanti-nantikan berita itu, terutamanya "apabila kami melihat para pekerja jagaan kesihatan di negara-negara lain dibenarkan memakai tudung".

"Berita ini amat besar ertinya buat saya kerana saya seorang Muslim. Saya harap saya boleh memakai tudung (sewaktu bekerja) kerana ia wajib bagi saya sebagai seorang wanita Muslim."

HOSPITAL SWASTA AKAN MENYUSUL

Hospital-hospital dan penyedia jagaan kesihatan swasta yang ditemu bual Mediacorp menyatakan bahawa ia akan mengikut perubahan-perubahan yang dilaksanakan di sektor jagaan kesihatan awam.

"Sebagai penyedia terbesar jagaan kesihatan swasta di negara ini, kami akan menerajui langkah untuk membenarkan jururawat dan pekerja jagaan kesihatan wanita Muslim kami dalam sektor swasta untuk memakai tudung sebagai tambahan kepada baju seragam mereka," kata Cik Josephin Ong, pengarah jururawat IHH Healthcare Singapore.

Hospital-hospital IHH Healthcare termasuk Mount Elizabeth (Orchard dan Novena), Parkway East dan Gleaneagles.

"Pengumuman itu amat dialu-alukan dalam kalangan kakitangan wanita Muslim kami di hospital-hospital IHH Healthcare Singapore, Parkway Shenton, makmal-makmal dan pusat-pusat radiologi. Mereka teruja dibenarkan untuk memakai tudung di tempat kerja mulai November dan bersyukur atas penggubalan dasar itu," kata Cik Ong.

Di Thomson Medical Centre (TMC), syarikat itu akan memaklumkan tentang perubahan-perubahan dasar tersebut kepada para jururawat menerusi sesi pertukaran syif setiap hari, taklimat secara ad hoc dan pemberitahuan rasmi, kata seorang jurucakap syarikat kepada Mediacorp.

"Kami menyokong dasar bagi semua jururawat yang mahu memakai tudung. Untuk memupuk sekitaran kerja yang inklusif dalam kalangan tenaga kerja kejururawatan yang majmuk, kami akan mendampingi kakitangan Muslim dan bukan Muslim untuk mendapatkan maklum balas mereka bagi menjawab sebarang pertanyaan yang mungkin diajukan ekoran penggubalan dasar itu," kata Cik Siti Hosier, pengarah jururawat di Thomson Medical Pte Ltd.

"Kami akan terus mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan operasi tidak terjejas dan warna hijab yang dibolehkan sesuai dengan baju seragam jururawat TMC."

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan