Jumlah kes baru COVID-19 M'sia catat kemerosotan; 17,352 kes dilapor hari ini
Jumlah kes baru COVID-19 di Malaysia hari ini (6 Sep) mencatat penurunan apabila melaporkan 17,352 kes berbanding 20,396 kes semalam. Kuala Lumpur dan Selangor yang sebelum ini melaporkan kes tertinggi kini menyaksikan kemerosotan kes.
Beberapa penduduk Malaysia berjalan-jalan di kawasan pusat beli-belah. (Gambar fail: AP)
KUALA LUMPUR: Jumlah kes baru COVID-19 di Malaysia hari ini (6 Sep) mencatat penurunan apabila melaporkan 17,352 kes berbanding 20,396 kes semalam. Kuala Lumpur dan Selangor yang sebelum ini melaporkan kes tertinggi kini menyaksikan kemerosotan kes.
Melaui catatan di Twitternya, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah terkumpul kes COVID-19 di Malaysia kini 1,862,187 kes selepas pertambahan kes-kes baru itu.
Sarawak hari ini menjadi negeri yang mencatatkan jumlah kes harian tertinggi dengan 3,714 kes, sekali gus mengatasi kes baru di Selangor yang melaporkan 2,126 kes.
Selangor mencatatkan peningkatan kes sejak April lalu dan kekal sebagai negeri yang merekodkan angka tertinggi kes baru harian, mengatasi negeri-negeri lain. Negeri itu mencatatkan ledakan angka harian tertinggi melebihi 7,000 pada Julai lalu.
Bilangan kes harian di Selangor dan Kuala Lumpur mula menunjukkan kemerosotan setelah Lembah Klang mencapai imuniti kelompok dengan peratusan vaksinasi penduduk dewasa melebihi 80 peratus. Kuala Lumpur pula hari ini mencatatkan 398 kes baru.
Memperincikan kes baru hari ini, Dr Noor Hisham berkata Johor mencatatkan 2,101 kes diikuti oleh Sabah (1,844), Kedah (1,599), Pulau Pinang (1,558), Kelantan (1,213) dan Perak (1,082).
“Sementara itu, negeri yang merekodkan kes di bawah 1,000 adalah Terengganu 700 kes, Pahang (463), Melaka (295), Negeri Sembilan (193), Perlis (38), Putrajaya (23) dan Labuan lima kes,” katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.