Hutang FTX kepada pemiutang cecah AS$3.1 bilion
Syarikat pertukaran mata wang kripto FTX menanggung hutang bernilai hampir AS$3.1 bilion (S$17.89 bilion) kepada 50 pemiutang terbesarnya, lapor Reuters pada Ahad (20 Nov).

(Gambar: AFP)
NEW YORK: Syarikat pertukaran mata wang kripto FTX menanggung hutang bernilai hampir AS$3.1 bilion (S$17.89 bilion) kepada 50 pemiutang terbesarnya, lapor Reuters pada Ahad (20 Nov).
FTX yang memfailkan permohonan muflis di Amerika Syarikat pada 11 Nov, menyatakan syarikat itu berhutang AS$1.45 bilion (S$1.99 bilion)kepada 10 pemiutang utamanya.
Namun FTX belum menamakan mana-mana pemiutangnya.
Keruntuhan syarikat pertukaran mata wang kripto kedua terbesar di dunia itu telah menggawatkan pasaran mata wang kripto.
Dokumen-dokumen permohonan muflis FTX yang difailkan sebelum ini mendedahkan FTX berhutang dengan lebih sejuta individu dan perniagaan menyusuli keruntuhannya.
Pada Sabtu lalu, FTX menyatakan ia telah menyemak semula asetnya di merata dunia dan membuat persiapan untuk menjual atau menyusun semula sesetengah perniagaannya.
Prosiding kemuflisan di mahkamah dijadual berlangsung pada Selasa (22 Nov).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.