Skip to main content

Iklan

Iklan

Jelajah

BERITA+: Nasib hidupan liar di Bandar dalam Alam Semula Jadi

Sejak pandemik melanda, panggilan diterima ACRES berhubung haiwan liar melonjak. Adakah ia bermakna lebih banyak pertembungan antara haiwan dengan manusia?

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+: Nasib hidupan liar di Bandar dalam Alam Semula Jadi

Para pegawai ACRES kendalikan seekor ular sawa yang ditemui di kawasan perumahan.

  • Kehidupan liar semakin mendapat perhatian kebelakangan ini
  • NParks, penggiat jelaskan pelbagai faktor menyumbang kepada trend, termasuk kesedaran meningkat
  • Pertembungan antara manusia dengan haiwan tidak dapat dielakkan di negara kecil S'pura meski usaha giat dijalankan
  • Orang ramai mainkan peranan genting dalam menentukan kebajikan haiwan alam sekitar

BERITAmediacorp: Kurang setahun bekerja sebagai seorang pegawai penyelamat hidupan liar, sudah pelbagai kisah pahit manis yang ditempuh Nur Syazleena Roslee dek banyaknya aduan yang diterima.

Satu kejadian yang tidak dapat dilupakan melibatkan panggilan kecemasan untuk membantu seekor burung yang terperangkap dalam jerat gam. Laporan itu diterima sedang beliau masih dalam perjalanan untuk selamatkan seekor haiwan yang lain.

"Tapi dalam setengah jam, pemanggil beritahu kami burung itu sudah mati. Tapi kini ada haiwan lain pula yang terjerat," kongsi pegawai Persatuan Penyelidikan dan Pendidikan Keprihatinan Haiwan (ACRES) itu kepada BERITAmediacorp.

Pegawai ACRES Nur Syazleena membersihkan seekor burung yang diselamatkan dari jerat gam.

Panggilan seperti itu adalah antara jumlah kes berlipat ganda yang diterima ACRES sejak COVID-19.

Pada masa yang sama pula, gambar-gambar hidupan liar makin kerap dikongsi online dan kejadian melibatkan haiwan mendapat sorotan, mencetus perbualan dalam kalangan masyarakat.

Pihak berkuasa dan aktivis yang dihubungi BERITAmediacorp menjelaskan terdapat pelbagai faktor menyumbang kepada trend ini, termasuk kesedaran dan minat dalam kalangan masyarakat, serta pergerakan haiwan antara ruang-ruang hijau.

Mereka bagaimanapun menekankan, ketika Singapura terus membangun ke arah matlamat menjadi Bandar dalam Alam Semula Jadi, setiap penduduk perlu mainkan peranan lebih besar untuk memastikan manusia dengan haiwan liar dapat berkongsi ruang dengan harmoni.

MAKIN RAMAI LUANGKAN MASA DI KAWASAN HIJAU

Pengarah kumpulan Pengurusan Hidupan Liar, Lembaga Taman Negara (NParks) Dr Adrian Loo berkongsi dengan BERITAmediacorp yang usaha pemuliharaan membawa "orang ramai makin dekat dengan alam semula jadi".

"Sejajar dengan itu mungkin terdapat peningkatan dalam jumlah pertemuan hidupan liar," tambahnya.

Konsultan alam sekitar Tony O'Dempsey pula menarik perhatian jika sebelum COVID-19 orang ramai biasanya menghabiskan masa di pusat hiburan dan riadah, langkah kawalan pandemik yang mengehadkan akses ke tempat-tempat sebegitu mendorong masyarakat untuk lebih kerap berkunjung ke kawasan semula jadi.

"Jadi ada peningkatan besar orang berada di kawasan (hijau), dan mereka melihat haiwan dan kongsikannya di media sosial. Jadi itu satu punca lebih kerap haiwan dilihat, tapi sebenarnya haiwan itu memang dari dulu sudah berada di situ," jelas Encik O'Dempsey, yang juga sebelum ini mempengerusikan beberapa jawatankuasa Nature Society (Singapore).

(Gambar ihsan: Teo Chee Kee)

Teo Chee Kee, seorang penggiat fotografi haiwan liar, juga menyaksikan lebih ramai yang minat memetik gambar kehidupan liar.

"Ya, terutama dalam kalangan muda. Saya mula melihat orang muda membawa kamera-kamera untuk petik hidupan liar, (makin ramai) berbanding dulu," ujar Encik Teo, yang gambarnya baru-baru ini menang satu pertandingan antarabangsa.

USAHA PEMULIHARAAN BUAHKAN HASIL

Encik O'Dempsey berpendapat bahawa bertambahnya laporan mengenai hidupan liar juga menandakan kejayaan usaha Singapura memulihara ruang-ruang hijau.

"Ketika saya tiba di Singapura 25 tahun lalu, jika anda nampak seekor Coluga atau kubung, anda raikan! Kerana jarang sekali untuk lihat kubung. Kini, anda boleh nampak kubung di taman semula jadi Bukit Batok," kata penduduk tetap berusia 60 tahun itu.

Tambahnya mamalia kecil lain seperti tupai terbang dan kongkang juga mungkin bertambah bilangannya seiring dengan tumbuh-tumbuhan di kawasan semula jadi yang semakin matang dan menghasilkan lebih banyak sumber makanan.

Tupai terbang jenis 'Horsfield's Flying Squirrel' atau 'Javanese Flying Squirrel' (Gambar ihsan: Nick Baker, EcologyAsia)
Seekor 'colugo' atau kubung dan anaknya (Gambar ihsan: Nick Baker, EcologyAsia)

PEMBANGUNAN TIDAK DAPAT DIELAKKAN

Hakikat sebuah negara kecil seperti Singapura yang terhad ruang, sebahagian kawasan hutan terpaksa memberi laluan kepada pembangunan demi memenuhi keperluan perumahan penduduk dan ekonomi.

Bila ini terjadi, haiwan yang menetap di situ akan bergerak untuk mencari habitat baru.

"Bagi kawasan di mana adanya pembangunan, NParks bekerjasama dengan agensi pembangunan untuk menyelaras garis masa kerja-kerja binaan untuk memastikan pemasangan hadangan secukupnya. Ini akan mengelakkan hidupan liar berkeliaran ke kawasan bandar berdekatan," kata Dr Loo.

Encik Tony O'Dempsey.

Encik O'Dempsey berkata kerjasama antara agensi pemerintah dengan kumpulan pemuliharaan semakin erat saban tahun.

"Kami (kumpulan pemuliharaan) tidak menuntut 'tiada pembangunan'. Dan ini sangat penting, untuk ambil pendekatan pragmatik terhadap pemuliharaan," katanya.

"Apa yang kami minta dari agensi adalah pastikan ada refugia - iaitu kawasan hutan lebih kecil yang ditinggalkan - dan pastikan ketersambungan antara satu kumpulan hutan dengan yang lain."

Sekumpulan memerang merentas laluan pejalan kaki (Gambar ihsan: Teo Chee Kee)

PERTEMBUNGAN BAWA PADAH PADA HAIWAN

Namun secermat mana pun perancangan, akan tetap ada kes malang di mana haiwan liar bertembung dengan manusia atau kenderaan.

Jika tidak dilanggar kenderaan pun, sebilangan haiwan liar yang lebih kecil menjadi mangsa secara tidak sengaja apabila menghampiri kawasan perumahan.

Jerat gam, yang dipasang untuk menangani masalah tikus antara punca kesengsaraan haiwan-haiwan lain.

"Burung yang terperangkap dalam jerat gam, kalau kami bawa balik ke ACRES, kami pertama sekali perlu pisahkannya dari jerat itu sendiri. Proses ini saja sudah cukup menyakitkan untuk haiwan itu, meskipun kami melakukannya secara perlahan sekali," kongsi Cik Nur Syazleena.

Beliau berkongsi bahawa panggilan yang diterima ACRES berhubung haiwan liar melonjak daripada 800 sebulan sebelum 'circuit breaker' tahun lalu, kepada sekitar 1,700 sebulan.

Namun ACRES berpandangan positif bahawa ia bukan petanda pertembungan lebih kerap antara manusia dengan haiwan. Sebaliknya menurut mereka, ia menunjukkan lebih ramai orang prihatin terhadap haiwan memerlukan dan sudah sedar sumber yang boleh dihubungi untuk dapatkan bantuan.

"KALAU ORANG KACAU ANAK KITA, KITA PUN MARAH. BEGITU JUGA NALURI HAIWAN."

Pun begitu baru-baru ini pula terdapat laporan mengenai seorang individu yang diserang memerang di Kebun Bunga.

Cik Nur Syazleena menjelaskan tindakan haiwan itu seperti berikut:

"Macam manusia, kalau kita duduk diam tiba-tiba orang kacau, kita pun marah bukan? Ataupun mungkin ada anaknya, di kawasan itu. Sama juga seperti kita, kalau ada orang kacau anak kita, kita pun marah, nak lindungi anak kita kan? Begitulah haiwan juga."

Pihak-pihak yang dihubungi BERITAmediacorp bersependapat bahawa bagi melengkapi semua usaha di pihak dasar dan kumpulan-kumpulan aktivis, anjakan paradigma perlu berlaku di peringkat masyarakat bagi mengurangkan konflik yang tidak perlu antara haiwan dengan manusia.

Papan tanda NParks mengingatkan orang ramai agar tidak memberi makan kepada haiwan liar.

Misalnya untuk elak daripada mengundang haiwan ke kawasan perumahan untuk mencari makan, NParks bekerjasama dengan pelbagai kumpulan dan agensi untuk mengajar orang ramai agar tidak memberi makan kepada haiwan liar.

Meskipun mungkin timbul daripada sikap kasihan, Dr Loo dari NParks menjelaskan: "(Tindakan) ini boleh menyebabkan haiwan meneroka ke kawasan perumahan untuk mencari makanan yang diberi manusia."

MANFAAT HIDUP DI TAMAN PERLU DISERTAKAN RASA TANGGUNGJAWAB

Pada akhirnya, setiap pihak perlu akur bahawa manusia dan haiwan saling berkongsi ruang dalam wawasan bagi Bandar dalam Alam Semula Jadi. Maka itu, sifat ihsan dan kesedaran dengan disokong pengetahuan perlu dipupuk agar kedua-dua pihak dapat hidup secara harmoni.

Encik O'Dempsey berpesan: "Kita mesti faham jika kita mahukan manfaat hidup dalam sebuah taman, kita perlu sedar kita ada tanggungjawab tertentu. Dan kita perlu mempunyai pemahaman dan pengetahuan tentang hidupan liar."

Nur Syazleena Roslee, pegawai penyelamat hidupan liar ACRES.

Cik Nur Syazleena pula menekankan bukan semua haiwan yang kita lihat perlu dialihkan atau memerlukan seseorang membuat aduan.

"Tak semestinya kita nampak haiwan itu di kawasan perumahan, kita kena pindahkan atau alihkan kerana hidupan liar itu memang asalnya di sini, ia perlu berada di habitatnya," kata beliau.

"Jadi kita perlu lebih memahami atau terima yang kita perlu hidup bersama, wujud bersama dengan haiwan-haiwan itu. Dan kita berkongsi ruang dengannya."

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan