Ivermectin tidak diluluskan bagi rawatan COVID-19: HSA
Ivermectin bukan sejenis ubat antivaksin dan tidak diluluskan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) bagi penggunaan untuk mencegah atau merawat COVID-19.
SINGAPURA: Ivermectin bukan sejenis ubat antivaksin dan tidak diluluskan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) bagi penggunaan untuk mencegah atau merawat COVID-19.
Demikian menurut HSA pada Rabu (8 Sep) sambil menambah pihak-pihak berkuasa di Singapura memandang serius terhadap mereka yang terlibat dalam penjualan serta pembekalan haram ubat-ubatan termasuk ivermectin.
HSA menambah ivermectin adalah ubat preskripsi semata-mata, diluluskan di Singapura hanya bagi rawatan jangkitan cacing parasit.
"Sejauh ini, tiada bukti saintifik dari ujian klinikal yang dijalankan dengan betul untuk membuktikan bahawa ubat ini berkesan terhadap COVID-19," menurut HSA dalam satu kenyataan sebagai respons kepada pertanyaan Mediacorp.
"Pengguna amat dinasihatkan supaya tidak merawat diri sendiri menggunakan ubat ivermectin dan berunding dengan doktor mereka untuk rawatan COVID-19 yang betul."
Agensi itu menambah ia akan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap individu yang terlibat dalam penjualan dan pembekalan haram ubat-ubatan seperti ivermectin.
Sesiapa yang didapati bersalah menjual secara haram ubat-ubatan ini boleh didenda sehingga S$50,000 dan/atau dipenjara sehingga dua tahun di bawah Akta Produk Kesihatan.
HSA mengeluarkan kenyataan itu berikutan satu laporan oleh Mediacorp mengenai orang ramai yang membeli ivermectin secara online untuk merawat diri sendiri terhadap COVID-19.
HSA menyatakan perbuatan mengambil ivermectin untuk merawat diri sendiri mungkin berbahaya dan ia boleh menyebabkan kesan sampingan seperti muntah, cirit-birit, sakit perut, pening kepala, sawan, kekeliruan, tekanan darah jatuh mendadak, ruam kulit teruk yang mungkin perlu dimasukkan ke hospital serta masalah hati.
HSA menggesa orang awam yang mempunyai sebarang maklumat tentang penjualan haram ubat itu agar menghubungi cawangan penguatkuasaannya di 6866 3485 semasa waktu pejabat pada hari-hari biasa atau emel ke hsa_is [at] hsa.gov.sg.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.