Skip to main content

Iklan

Iklan

Isu ekonomi, bimbang dijangkiti COVID-19 di tempat awam antara kerisauan utama rakyat S'pura

Satu kajian mendapati tiga daripada setiap empat warga Singapura berasa gelisah berhubung isu-isu seperti kesan jangka panjang terhadap ekonomi akibat COVID-19, selain pengangguran, kenaikan cukai dan peningkatan kos sara hidup.

Anggaran Waktu Membaca:
Isu ekonomi, bimbang dijangkiti COVID-19 di tempat awam antara kerisauan utama rakyat S'pura

(Gambar: Ajuprasetyo/Pixabay)

Diterbitkan : 26 Sep 2020 12:35AM Dikemas Kini : 26 Sep 2020 12:40AM

SINGAPURA: Satu kajian mendapati tiga daripada setiap empat warga Singapura berasa gelisah berhubung isu-isu seperti kesan jangka panjang terhadap ekonomi akibat COVID-19, selain pengangguran, kenaikan cukai dan peningkatan kos sara hidup.

Kebimbangan dijangkiti COVID-19 di tempat awam juga merupakan antara punca yang mencetuskan kerisauan.

Dapatan tinjauan itu didedahkan pada Khamis (24 Sep) oleh firma perhubungan Wunderman Thompson Singapore, yang menggunakan indeks kerisauan untuk mengukur tekanan utama yang dihadapi oleh para penduduk Singapura. Firma itu menemu bual 500 warga Singapura yang berusia 18 tahun ke atas antara Jun hingga Ogos lalu.

Secara keseluruhannya, 74 peratus responden di Singapura didapati berasa cemas, dengan perangkaan itu serupa dengan yang ditinjau di New Zealand dan Australia dan hampir setinggi 76 peratus yang ditinjau di Amerika Syarikat.

Walaupun paras kerisauan tinggi secara amnya, tahapnya berbeza-beza bergantung kepada faktor-faktor seperti usia, jantina dan jumlah anak yang ditanggung.

Warga Singapura yang berusia antara 35 dengan 39 tahun adalah yang paling gelisah, iaitu 80 peratus. Golongan yang paling kurang berasa risau adalah mereka yang berusia antara 55 hingga 59 tahun, iaitu 61 peratus.

Kaum lelaki juga lebih berasa cemas berbanding wanita, begitu juga responden lelaki yang lebih muda dan mereka yang sudah berkahwin atau dengan anak yang berusia bawah 18 tahun.

PERINCIAN DAPATAN KAJIAN

Perangkaan mengenai jumlah warga Singapura yang risau tentang pelbagai aspek kehidupan disenaraikan di bawah:

Ekonomi (78 peratus)

Sekitaran (77 peratus)

Teknologi (74 peratus)

Kesihatan (73 peratus)

Keselamatan (65 peratus)

Warga Singapura secara ketara kurang cemas tentang dua aspek ini:

Kemajuan sosial (56 peratus)

Tadbir Urus (56 peratus)

Isu-isu ekonomi seperti kos sara hidup, perumahan, kenaikan cukai dan pengangguran, terutamanya dalam kalangan mereka yang mempunyai anak berusia antara 18 hingga 34 tahun, menjadi punca terbesar tekanan yang dialami.

Kajian itu mendapati bahawa warga Singapura juga bimbang, namun rendah sedikit berhubung isu-isu peribadi seperti jaminan pekerjaan, harga makanan atau sama ada mereka mempunyai simpanan yang mencukupi dalam akaun CPF mereka.

Ini membayangkan bahawa langkah-langkah Pemerintah untuk menangani kesan secara langsung akibat pandemik itu membuahkan hasil, menurut Wunderman Thompson Singapore.

KEPRIHATINAN PALING KETARA

Kesihatan tetap menjadi keprihatinan utama dalam kalangan rakyat Singapura, yang berasa paling risau mengenai kos jagaan kesihatan dan penyakit-penyakit seperti kencing manis.

Ini paling jelas dalam kalangan belia yang berusia 18 hingga 34 tahun, yang juga prihatin terhadap kesihatan mental dan kemurungan.

Kajian itu mendapati bahawa kerisauan jangka panjang berhubung isu sekitaran juga tinggi dalam kalangan warga Singapura.

Para responden berkata isu-isu seperti perubahan iklim dan peningkatan pada paras air laut yang berkaitan dengan perubahan iklim turut memprihatinkan. Hal ini lebih membimbangkan bagi golongan milennial yang berusia antara 25 hingga 34 tahun, namun Generasi Z yang berusia antara 18 hingga 24 tahun tidak mengongsi kebimbangan yang sama.

Dari segi kemajuan sosial, lebih ramai yang bimbang tentang sama ada terdapat terlalu ramai warga asing di kedua-dua tahap pekerjaan berkemahiran tinggi dan rendah.

Dengan pekerjaan terus menjadi keprihatinan, lebih separuh warga Singapura khuatir tentang jumlah warga asing dalam tenaga kerja karyawan dan juga jumlah pendatang di negara ini. Kebimbangan ini paling ketara dalam kalangan warga lelaki berusia lebih 35 tahun dan mereka yang mempunyai anak bawah usia 18 tahun.

Berbeza dengan isu-isu lain, tadbir urus adalah sesuatu yang paling tidak merisaukan, namun ia dianggap lebih penting dalam kalangan mereka yang berusia 18 hingga 34 tahun.

Warga Singapura berkata mereka paling prihatin terhadap rizab negara, yang dikeluarkan semasa pandemik COVID-19, diikuti pula oleh kemampuan Pemerintah untuk bertindak menangani krisis.

HARAPAN JANGKA PANJANG

Hampir empat daripada setiap lima responden tidak menjangkakan COVID-19 akan dapat dikawal sehingga tahun depan, menyebabkan ramai untuk menimbangkan semula bagaimana mereka akan menjalani kehidupan masing-masing.

Ramai yang menimbangkan semula apa yang mereka mahukan daripada pekerjaan dan tugas mereka (74 peratus) dan majoriti ingin tinggal di Singapura agar dekat dengan keluarga dan ibu bapa mereka (82 peratus).

Walaupun 83 peratus responden berkata bahawa mereka kini mempunyai lebih banyak keprihatinan berbanding masa lalu, 60 peratus juga optimis tentang masa depan.

Kebiasaan yang para responden percaya akan menjadi "normal baru" termasuk bekerja dari rumah (65 peratus) dan norma jarak selamat (58 peratus). 

Sumber : CNA/TQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan