Skip to main content

Iklan

Iklan

Isi rumah lengkap divaksin boleh duduk makan 5 semeja di luar mulai 10 Nov

Para individu yang sudah lengkap divaksin daripada keluarga yang sama boleh duduk makan di luar dalam kumpulan sehingga lima orang mulai Rabu (10 Nov), umum pengerusi bersama jawatankuasa bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19, Encik Gan Kim Yong.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Nov 2021 08:09PM Dikemas Kini : 08 Nov 2021 08:36PM

SINGAPURA: Para individu yang sudah lengkap divaksin daripada keluarga yang sama boleh duduk makan di luar dalam kumpulan sehingga lima orang mulai Rabu (10 Nov), umum pengerusi bersama jawatankuasa bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19, Encik Gan Kim Yong.

Namun, kelonggaran sekatan duduk makan di luar itu tidak termasuk individu daripada keluarga yang berbeza, di mana hadnya kekal dua individu yang lengkap divaksin, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan berasingan.

Ia juga tidak termasuk pusat penjaja dan kedai kopi kerana cawangan-cawangan F&B perlu mampu menjalankan pemeriksaan status vaksinasi yang 'menyeluruh', menurut kementerian itu.

"Kami bersedia untuk memperluaskan pelonggaran sama bagi pusat penjaja dan kedai kopi sebaik sahaja ia sudahpun melaksanakan langkah-langkah kawalan tambahan."

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) akan mendampingi persatuan penjaja dan pengendali kedai kopi tentang perkembangan itu dan perincian lanjut akan diberikan sebaik siap, tambah kementerian itu.

Cawangan-cawangan F&B juga akan dibenarkan memainkan "rakaman muzik yang lembut nadanya" mulai Rabu, tetapi muzik dan persembahan secara langsung masih tidak dibenarkan.

Perhimpunan sosial juga masih dihadkan kepada maksimum dua individu dan had tetamu ke rumah juga kekal tidak berubah kepada dua orang sehari. Had ke atas para tetamu tidak dikenakan ke atas cucu yang dijaga oleh datuk dan neneknya.

Perhimpunan sosial seharusnya dihadkan kepada satu sehari, sama ada untuk menziarahi keluarga lain atau di tempat awam.

"SITUASI SEMAKIN STABIL"

Bercakap di sidang media pada Isnin, Encik Gan menarik perhatian meskipun Singapura masih mencatatkan lebih 3,000 kes baru COVID-19 dalam sehari, situasi semakin stabil sepanjang dua minggu lalu.

"Nisbah mingguan berbanding minggu sebelumnya merosot kepada kurang satu sepanjang beberapa hari yang lalu dan mencecah 0.81 setakat 7 November. Jumlah kes di hospital dan bilangan kes sakit teruk juga kekal stabil," tambah beliau.

Mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura kerana "bekerjasama" untuk mengurangkan penularan COVID-19, Encik Gan berkata, "Dengan situasi semakin stabil, kita kini berada dalam kedudukan lebih baik untuk melonggarkan sebilangan daripada langkah-langkah pengurusan selamat tanpa membebani sistem jagaan kesihatan kita."

Meskipun jumlah kes COVID-19 di hospital dan unit jagaan rapi (ICU) kekal tinggi, ia stabil - penggunaan ICU masih "kekal pada paras 70 peratus", menurut MOH.

Pihak berkuasa juga akan menimbangkan pelonggaran lanjut langkah-langkah bagi individu yang lengkap divaksin, dengan langkah-langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi dan ujian pra-acara, tambah Encik Gan.

Ini akan dimulakan dengan langkah perintis bagi menyambung semula lebih banyak kegiatan bagi mereka yang sudah lengkap divaksin dalam perhimpunan sukan dan acara-acara terpilih mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE). Jika berjaya, ia akan diperluaskan untuk merangkumi persekitaran lain, menurut Kementerian Kesihatan.

Lebih banyak kegiatan sekolah juga akan disambung semula termasuk kelas secara fizikal, kerja berkumpulan dan kegiatan luar darjah, kata Encik Gan.

"Ini amat penting bagi pendidikan anak-anak kita," kata Encik Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan. Beliau menambah bahawa Kementerian Pendidikan (MOE) akan memberi perincian lanjut kelak.

Kapasiti di panggung wayang, persembahan secara langsung dan acara MICE juga akan ditambah. Langkah-langkah pengurusan selamat bagi perniagaan-perniagaan juga akan diperhalusi untuk "memudahkan operasi dengan lebih baik lagi", kata beliau.

"Sedang kita membuka semula secara bertahap-tahap, jumlah kes COVID-19 pasti akan meningkat, seperti mana yang kita mengalami sebelum ini.

"Kita perlu terus melindungi mereka yang tidak divaksin kerana mereka berisiko tinggi menghadapi kesan teruk," kata Encik Gan.

Pengerusi bersama jawatankuasa bertindak, Encik Lawrence Wong pula berkata meskipun dengan pelonggaran sekatan, orang ramai tidak seharusnya "mengambil ringan perkara itu".

"Kami dengan teliti menyusun penyesuaian-penyesuaian ini dengan harapan ia akan membawa manfaat kepada keluarga-keluarga untuk duduk makan bersama serta sukan, kehidupan sekolah dan kegiatan lain disambung semula, semuanya sedang kita mengawal risikonya," kata Encik Wong.

"Kita melonggarkan sedikit brek basikal tetapi kita tidak boleh memandang ringan dan hilang kawalan sedang kita turun bukit," tambah beliau.

"Ia bukan setakat membuat penyesuaian pada peraturan, ia juga tentang bagaimana kita semua sebagai individu dan sebagai sebuah masyarakat bertingkah laku dan bertindak," kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, sambil menggesa orang ramai supaya terus berwaspada.

"Sekiranya kita mengambil pendekatan ini, kita boleh mengelak peningkatan mendadak kes, kita boleh melindungi sistem jagaan kesihatan kita dan kita boleh menyokong kesemua jagaan kesihatan kita dalam minggu-minggu dan bulan-bulan mendatang." 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan