Skip to main content

Institusi jagaan kesihatan mula tawarkan Sinopharm; permintaan awam 'tinggi'

Institusi-institusi jagaan kesihatan sudah mula menawarkan vaksin COVID-19 Sinopharm pada Isnin (30 Ogos) di tengah-tengah permintah "sangat memberangsangkan" daripada orang ramai. 

Anggaran Waktu Membaca:
Institusi jagaan kesihatan mula tawarkan Sinopharm; permintaan awam 'tinggi'

Seorang lelaki mengambil dos pertama vaksin COVID-19 Sinopharm, keluaran China, di Hospital Gleneagles. (Gambar: Jalelah Abu Baker)

Diterbitkan : 30 Aug 2021 10:49PM Dikemas Kini : 30 Aug 2021 10:52PM

SINGAPURA: Institusi-institusi jagaan kesihatan sudah mula menawarkan vaksin COVID-19 Sinopharm pada Isnin (30 Ogos) di tengah-tengah permintah "sangat memberangsangkan" daripada orang ramai.

Lebih 6,000 individu sudahpun mendaftarkan minat untuk menerima vaksin Sinopharm di kemudahan IHH Healthcare Singapore, kata ketua pegawai operasinya, Dr Noel Yeo, pada Isnin.

Para individu ini menyatakan minat mereka sepanjang bulan lalu, Dr Yeo memberitahu wartawan di sesi vaksinasi yang diadakan di Hospital Gleneagles iaitu satu daripada hospital firma tersebut.

IHH Healthcare Singapore mengimport lebih 10,000 dos vaksin Sinopharm keluaran China sejauh ini, kata Dr Yeo, yang menggambarkan vaksin itu sebagai "popular".

"Kami menyedari ada permintaan bagi vaksin alternatif. Bagaimanapun, respons bagi Sinopharm sangat memberangsangkan sejauh ini," ujarnya.

"Kami sudahpun menilai keperluan untuk memohon semula bagi lebih banyak dos untuk memenuhi permintaan."

IHH Healthcare juga akan menawarkan vaksin Sinopharm di Hospital Mount Elizabeth dan klinik-klinik Parkway Shenton di Duxton serta One Raffles Quay, kata Dr Yeo.

Sekitar 50 orang dijemput untuk sesi vaksinasi mereka pada Isnin selepas ia tiba lebih awal dari yang dijangkakan pada Jumaat malam, tambah beliau.

Menurut beliau lagi, individu lain yang sudahpun membuat janji temu boleh menerima vaksin mereka mulai Rabu.

Hospital Gleneagles boleh memvaksin sehingga 150 individu pada kapasiti penuh, tambah beliau.

“MINAT BAIK" UNTUK VAKSIN

Slot janji temu di Medic Surgical and Laser Clinic oleh Clearbridge Medical Group - yang juga mula menawarkan vaksin Sinopharm pada Isnin - kebanyakannya sudah ditempah, kata seorang jurucakap.

Klinik itu mula menerima pendaftaran bagi janji temu pada 9 Ogos.

"Kami menyaksikan minat yang baik bagi vaksin itu dan sudahpun secara aktif menghubungi pesakit-pesakit yang berminat untuk mendapatkan vaksinasi mereka di klinik itu berdasarkan format janji temu," kata jurucakap berkenaan.

Beliau menambah "kami menyasarkan untuk memvaksin antara 50 hingga 70 pesakit setiap hari", tertakluk kepada kapasiti klinik dan peraturan jarak selamat.

Klinik-klinik lain yang dijangka akan menawarkan vaksin Sinopharm adalah Thomson Wellth Clinic @ Paragon dan Thomson GP Clinic.

Seorang jurucakap bagi syarikat induk Thomson Medical berkata dua kliniknya boleh, secara selamat dan berkesan, memberi sekitar 250 suntikan vaksin sehari.

“Keseluruhannya, kami menerima lebih 1,000 permintaan bagi vaksin Sinopharm setakat ini," tambah jurucakap itu.

Klinik-klinik itu sedang membuat persediaan untuk memulakan operasi mulai pertengahan bulan depan, tambah beliau.

StarMed Specialist Centre juga menjangkakan akan menawarkan vaksin Sinopharm pada pertengahan September, kata CEOnya, Dr Louis Tan.

“Kami sedang menunggu untuk menghabiskan sebahagian besar dos Sinovac kami sebelum kami membuka slot janji temu bagi Sinopharm. Disebabkan oleh persamaan pada nama, negara asal dan jenis vaksin, kami tidak mahu mengelirukan orang ramai dengan menawarkan kedua-duanya secara serentak," beliau memberitahu Mediacorp.

Menurut beliau, pusat itu boleh memberi lebih 100 vaksin sehari.

Pemeriksaan Mediacorp menunjukkan klinik-klinik di Singapura meletakkan harga sekitar S$98 atau S$99 berserta GST untuk dua dos vaksin Sinopharm.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita