Skip to main content

Iklan

Iklan

Indonesia luluskan vaksin Sinovac buat budak 6-11 tahun

 Indonesia meluluskan suntikan vaksin COVID-19 Sinovac Biotech untuk kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun, menurut agensi makanan dan ubat-ubatan negara itu pada Isnin (1 Nov), lapor Reuters. 

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia luluskan vaksin Sinovac buat budak 6-11 tahun

Seorang kakitangan kesihatan menyuntik vaksin kepada seorang penerima semasa kempen vaksinasi di Stadium Patriot Candrabhaga di Bekasi, pinggi bandar Jakarta, Indonesia, pada 28 Okt 2021. (Gambar: Achmad Ibrahim/AP)

JAKARTA: Indonesia meluluskan suntikan vaksin COVID-19 Sinovac Biotech untuk kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun, menurut agensi makanan dan ubat-ubatan negara itu pada Isnin (1 Nov), lapor Reuters. Ini berikutan vaksin Pfizer/BioNTech yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat bagi budak kecil.

Sehingga Isnin, Indonesia meluluskan vaksin Sinovac keluaran China hanya untuk individu berusia 12 tahun dan ke atas. Negara itu mempunyai jumlah vaksin Sinovac yang terbanyak dalam bekalan vaksinnya, dengan lebih 200 juta dos.

Penny K Lukito, ketua agensi (BPOM), memberitahu satu sidang media bahawa kelulusan yang diperolehi merupakan satu "berita baik. "Kami yakin vaksinasi kanak-kanak adalah satu perkara penting, terutama sekarang apabila pembelajaran secara fizikal sudah bermula."

Indonesia menjalankan uji cuba pembelajaran secara fizikal yang sudah dijalankan selama dua bulan. Menteri Kesihatan Gunadi Sadikin berkata kes COVID-19 yang dikesan di sekolah semasa tempoh ini "agak rendah".

Siti Nadia Tarmizi, seorang pegawai kementerian kesihatan, berkata vaksinasi untuk kanak-kanak mungkin bermula seawal tahun depan sedang ia menunggu cadangan daripada persatuan pediatrik Indonesia dan lebih banyak dos vaksin.

Chile dan Kemboja juga sudah meluluskan vaksin Sinovac bagi kanak-kanak lebih kecil.

Indonesia adalah pusat penularan COVID-19 di Asia pada Julai dengan varian Delta menyebabkan jumlah jangkitan serta kematian yang tinggi meskipun angka kedua-duanya sudah merosot.

Jangkitan dalam kalangan individu berusia sehingga 18 tahun membentuk 13 peratus daripada jumlah terkumpul kes, menurut data pemerintah, yang dipetik Reuters.

Sekitar 27 peratus daripada 270 juta penduduk Indonesia sudah divaksin.  

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan