Skip to main content

Iklan

Iklan

Hungryy bolehkan anda hantar makanan berbuka untuk keluarga memerlukan. Ini caranya...

Tinggal 30 minit sebelum azan berkumandang. Encik Haniff Zainol - seorang bapa tunggal lima anak - sedang sibuk menyiapkan juadah berbuka puasa untuk keluarganya.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tinggal 30 minit sebelum azan berkumandang. Encik Haniff Zainol - seorang bapa tunggal lima anak - sedang sibuk menyiapkan juadah berbuka puasa untuk keluarganya.

Tiba-tiba seorang penghantar makanan datang mengetuk pintu rumahnya di Woodlands meskipun dia tidak membuat sebarang pesanan. Pengirimnya juga tidak bernama.

"Memang terperanjatlah. Siapa pulak order kan? Saya tengok-tengok... oh ini untuk iftar. Tak pernah-pernah dapat. Kalau ia dihantar ke alamat yang betul, kami terima dan bersyukur," cerita Encik Haniff, 49 tahun, kepada BERITAmediacorp.

Yang diterima ternyata makanan sedap-sedap: spageti, lasagna, kebab dan naan yang tersedia dengan keju. Mendengarnya sahaja sudah cukup membuka selera.

Encik Haniff merupakan antara 80 penerima 'Gift-of-Ramadan' Hungryy. 

"(Biasanya) saya cuba latih anak-anak buka puasa dengan kurma atau buah-buahan dahulu. Kemudian sembahyang baru kita bantai! Tapi masa dapat makanan itu, kita makan dulu," tambahnya sambil tertawa.

SIAPA PENGIRIMNYA?

Sebenarnya, Encik Haniff salah seorang daripada hampir 80 penerima 'Gift of Ramadan' atau Hadiah Ramadan dalam bentuk makanan berbuka puasa yang didermakan oleh pengguna atau pelanggan Hungryy.

Hungryy adalah sebuah platform yang menawarkan khidmat penghantaran makanan - persis Foodpanda dan Grabfood. Uniknya, pilihan makanan yang ada di Hungryy semuanya halal.

Khidmat sedemikian dimulakan Encik Muhammad Zulkifli Rahmat dan Encik Aszri Ahmad kurang setahun lalu. Namun, dalam waktu sesingkat ini, perusahaan mereka sudah berkembang maju dan kini, mereka mengorak langkah untuk berbakti kepada masyarakat pula.

Usaha yang mereka jalankan dipanggil 'Gift of Ramadan', iaitu dalam bentuk pilihan baru pada aplikasi mudah alihnya yang sudah dimuat turun lebih 30,000 pengguna.

"Apabila ada pihak yang menderma dan beli pakej 'Gift of Ramadan' yang telah kami sediakan, pada keesokan harinya, dana itu akan kami gunakan untuk membelikan makanan yang sesuai (untuk penerima)," jelas Encik Zulkifli.

Buat masa ini, ada lebih 120 penerima bantuan dalam senarai 'Gift of Ramadan', termasuk Encik Haniff. Kesemua mereka adalah penerima bantuan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan golongan musafir yang dirujukkan oleh Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

JUMLAH YANG MENDERMA MENGGALAKKAN

Mengulas lebih lanjut tentang inisiatif 'Gift of Ramadan', Encik Zulkifli berkata ia sebenarnya adalah idea para pelanggannya sendiri.

"Saya lihat bahawa ia adalah sesuatu yang sangat relevan, tepat pada waktunya kerana ini adalah tahun pertama Hungryy berkhidmat pada bulan Ramadan untuk masyarakat Islam. Kita juga rasakan kita bersedia untuk menyelenggarakan inisiatif ini dengan baik," ujarnya.

Khidmat amal ini mula ditawarkan sehari sebelum Ramadan dan sambutan dari penderma juga menggalakkan bagi minggu pertama berpuasa, tambah Encik Zulkifli.

"Jumlah yang didermakan itu sudah melebihi $2,000 dan kita telah berjaya hantar kepada hampir 80 penerima. Saya yakin masyarakat Islam Singapura akan terus menyokong 'Gift of Ramadan'. Jika sambutannya baik dan mereka yang menerima merasakan manfaatnya, usaha ini akan menjadi satu ikon dalam Hungryy insya-Allah," kongsi beliau.

Para penderma boleh memilih pakej yang berharga $39, $59 atau $69. Makanan yang dipilih Hungryy adalah dari restoran-restoran berdekatan kediaman para penerima.

USAHA DIALU-ALUKAN

Bagi Encik Haniff sekeluarga, mendapat 'hadiah makanan' ibarat durian runtuh kerana khidmat penghantaran makanan dianggap sebagai suatu 'kemewahan' yang kurang dinikmati keluarganya.

"Untuk cabutan bertuah (sahaja) tak pernah dapat," seloroh Encik Haniff.

"Ia (khidmat penghantaran) seperti satu kemewahan. Selalunya kita pesan sebulan sekali atau sekali setiap dua bulan dari Domino's kerana perbelanjaan kewangan itu kita jaga. Walaupun $2, $4, $6 atau bawah $10, ia boleh digunakan untuk keperluan lain".

Bapa tunggal kepada anak-anak remaja berusia antara 12 hingga 19 tahun itu biasanya mencari masa untuk memasak sendiri buat keluarga meskipun dia sendiri bekerja.

Mungkin inilah yang dikatakan cahaya Ramadan. Rezeki datang mengetuk pintu dengan tidak disangka-sangka.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan