Skip to main content

Hungary catat angka korban mingguan tertinggi di dunia

Hungary mencatatkan kadar kematian COVID-19 tertinggi di dunia jika dibandingkan dengan jumlah penduduknya pada minggu lalu, menurut data AFP pada Khamis (25 Mac) sedang hospital-hospital tempatan semakin tertekan menangani peningkatan pada jumlah kes varian baru virus tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Hungary catat angka korban mingguan tertinggi di dunia

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 26 Mar 2021 11:21AM Dikemas Kini : 26 Mar 2021 11:26AM

BUDAPEST: Hungary mencatatkan kadar kematian COVID-19 tertinggi di dunia jika dibandingkan dengan jumlah penduduknya pada minggu lalu, menurut data AFP pada Khamis (25 Mac) sedang hospital-hospital tempatan semakin tertekan menangani peningkatan pada jumlah kes varian baru virus tersebut.

Angka korban di negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dengan jumlah penduduk kurang 10 juta itu meningkat lebih 41 peratus pada minggu lalu dan mencatat rekod harian baru dengan 272 kematian dilaporkan pada Khamis (25 Mac).

Dengan perangkaan terkini itu, kadar purata kematian bagi tempoh selama tujuh hari bagi setiap 100,000 penduduk negara itu mencecah paras tertinggi di dunia iaitu 15.7, jauh di hadapan Republik Czech (12.7), Bosnia (12), Slovakia (10.5) dan Bulgaria (10.5).

Jangkitan mula meningkat sejak Februari lalu apabila varian baru COVID-19 yang pertama kali dikesan di England mula menular.

Sebanyak 9,637 kes baru dilaporkan semalam dan hampir 12,000 pesakit koronavirus dirawat di hospital, termasuk sekitar 1,500 pesakit yang menggunakan alat bantuan pernafasan.

Menurut para pakar, varian baru dari Britain itu membentuk 80 hingga 90 peratus jangkitan baru dan jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat virus itu dijangka meningkat pada April.

Ketua Turus Perdana Menteri Hungary, Gergely Gulyas, berkata meskipun keadaan serius tetapi Hungary mempunyai sistem yang masih berupaya menangani jumlah jangkitan yang lebih tinggi.

"Terdapat katil, alat bantuan pernafasan dan kakitangan yang mencukupi," katanya sambil menolak amaran oleh Dewan Doktor Hungary (MOK) awal minggu ini yang mendakwa bahawa hospital-hospital tempatan akan penuh sesak dan kekurangan kakitangan perubatan untuk merawat pesakit yang kian meningkat.

Seorang pegawai MOK berkata keadaan hospital tidak lama lagi mungkin serupa dengan keadaan yang dilaporkan setahun lalu di wilayah Bergamo, Itali yang menjadi tapak penularan COVID-19 yang pertama di Eropah.

Sekitar 500 mahasiswa perubatan dibenarkan menghulurkan bantuan sedang hospital-hospital cuba mendapatkan khidmat sukarelawan untuk membantu di wad-wad COVID-19.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita