Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri & Syamel bakal bergabung dalam konsert SG pada Sep 2026
Berita baik buat peminat ikon muzik Melayu Ziana Zain dan Anuar Zain!
(Dari kiri) Penyanyi Malaysia Anuar Zain, Ziana Zain, Ernie Zakri dan Syamel akan mengadakan persembahan di Singapura pada 26 September 2026. (Gambar: FriedRice Entertainment)
Pada September ini, anda boleh mendengar lagu-lagu hit adik-beradik itu secara langsung di satu pentas yang sama.
Kedua-dua penyanyi kesayangan ramai itu akan mengadakan konsert bersama, di samping anak saudara mereka, penyanyi dan pelakon Ernie Zakri serta suaminya, penyanyi dan komposer Syamel pada 26 September di The Star Theatre.
Konsert 'Empat' itu akan turut menyaksikan keluarga berbakat itu menyampaikan lagu-lagu hit masing-masing, termasuk 'Lelaki Ini', 'Madah Berhelah', 'Masing Masing' dan 'Kau Pun Sama'.
Tiket bagi konsert 'Empat' akan mula dijual pada pukul 10.00 pagi pada Jumaat (22 Mei) menerusi Ticketmaster.
Ziana Zain dan Anuar Zain menceburi industri hiburan pada waktu yang berbeza, dengan Anuar mula dikenali pada era 1980-an menerusi lagu 'Suasana Hari Raya'.
Beliau kemudian bekerja sebagai pramugara selama 10 tahun sebelum kembali menjadi penyanyi pada 1998.
Sejak itu, beliau menghasilkan pelbagai lagu ikonik seperti 'Keabadian Cinta' dan 'Mungkin'.
Ziana pula melancarkan album pertamanya pada 1991, yang menjadi kejayaan besar buatnya dan melonjakkan namanya ke puncak populariti.
Lebih 30 tahun kemudian, beliau kekal sebagai antara nama tersohor dalam industri hiburan Malaysia, dengan deretan lagu dan filem popular.
Ernie Zakri, yang juga anak kepada sepupu Ziana Zain dan Anuar Zain, menjadi terkenal selepas menjuarai Bintang RTM pada 2009.
Begitu juga dengan suaminya, Syamel, yang memulakan kerjaya menerusi pertandingan realiti Akademi Fantasia pada 2015.
Menyusuli pelbagai spekulasi mengenai hubungan mereka selepas berganding dalam beberapa duet, pasangan itu mengumumkan pertunangan mereka pada 2020 sebelum mendirikan rumah tangga pada tahun berikutnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.