Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Ziana & Anuar Zain lega konsert berjaya; umum konsert di S'pura pada 24 Sep

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: "Rasa macam satu mimpi dan ini rezeki Allah bagi untuk kami menjayakan konsert ini. Allah maha kaya," demikian kata-kata penyanyi Ziana Zain usai mengadakan konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu malam (6 Ogos).

Berlangsung meriah bermula pukul 9.00 malam, persembahan kedua-dua adik-beradik popular itu mengukir senyum 2,800 penonton yang hadir, lapor Gempak. 

Mana tidaknya, kali terakhir Ziana mengadakan konsert berskala besar adalah 20 tahun lalu dan tahun ini rindu peminat, atau dikenali sebagai Zianafolks, akhirnya terubat!

"Saya sebenarnya tak boleh tidur lena dalam seminggu ini memikirkan perjalanan konsert," kata Ziana lagi bersulam canda seawal tirai konsert bermula.

LAGU-LAGU POPULAR ZIANA & ANUAR

Konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu menampilkan lagu-lagu hits Ziana dan Anuar, dibuka dengan duet Sangkar Cinta dan Bila Resah secara medley bersama.

Antara lagu popular yang dipersembahkan Ziana adalah Puncak Kasih, Terlerai Kasih, Menadah Gerimis, Anggapanmu dan Madah Berhelah.

Sementara Anuar pula menghiburkan para peminat dengan lagu-lagu popularnya seperti Ketelusan Hati, Mungkin, Lelaki Ini dan Keabadian Cinta.

Lebih menyeronokkan, para penonton turut berpeluang menyaksikan adik-beradik itu menyanyi secara duet menerusi lagu Sesuci Cinta Mu, Lembah Asmara dan Di Akhir Garisan.

Malam penuh bersejarah itu turut menyaksikan gabungan kali pertama mereka dalam sebuah konsert di Kuala Lumpur, menurut Gempak.

"Akhirnya kita disatukan di Kuala Lumpur. Kali pertama konsert kami pada tahun 2010 di Singapura," kata Ziana.

PEMINAT ANUAR ZAIN MENANGIS 

Terharu dengan sokongan dan kehadiran peminat, Anuar bersyukur apabila mereka sanggup meluangkan masa menghadiri konsert pada malam ini.

"Anda boleh pergi ke mana-mana, tapi anda pilih untuk berada di sini. Terima kasih kerana beri aura yang positif.

"Saya tak sangka masih lagi mendapat sokongan yang begitu kuat daripada anda semua," kata Anuar yang sebak dengan respons yang diterima sehingga kini.

Pada konsert berkenaan, terdapat peminat yang gagal menahan air mata sebaik melihat artis pujaan mereka membuat persembahan.

Konsert anjuran Trumpet International Sdn Bhd itu menyaksikan kehadiran rakan-rakan selebriti yang memberikan sokongan.

Antaranya ialah Misha Omar, Dafi, Datuk A Aida, Scha Al Yahya, Shuib, Awal Ashaari, Datuk Ziela Jalil, Ernie Zakri, Syamel, Fara Fauzana, Noryn Aziz dan Rozita Che Wan.

Tidak ketinggalan, konsert terbabit turut direstui dengan kehadiran ibu bapa selebriti itu iaitu Zin Abdullah dan Robiah Abdul serta anak-anak Ziana.

KONSERT ZIANA & ANUAR DI SINGAPURA

Pada penghujung konsert, Ziana dan Anuar berkongsi berita gembira apabila mengumumkan bakal mengadakan konsert di Singapura pada 24 September depan.

"Senarai lagu nanti mungkin ada yang sama, kita tengoklah nanti. Pastinya kami akan cuba lakukan yang terbaik," ulas Anuar. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan