Zhin Sadali sahut cabaran jadi pengacara 'Let's Celebrate 2023', pertama kali untuk siaran langsung
SINGAPURA: Barisan artis menarik dari dalam dan luar negara bakal mewarnai acara sambutan tahun baru 'Let’s Celebrate 2023' anjuran Mediacorp.
Dalam hari-hari terakhir sebelum acara itu berlangsung esok (31 Dis) di The Promontory di Marina Bay, mereka yang terlibat kini giat berlatih untuk menampilkan persembahan secara langsung, di hadapan para penonton.
(Gambar: Mediacorp)
Orang ramai boleh masuk ke kawasan pentas mulai jam 7.00 malam dan masuk adalah percuma.
Para penonton di rumah pula boleh mula menyaksikan persembahan itu secara langsung pada jam 11 malam di Saluran 5 Mediacorp.
(Gambar: Mediacorp)
Antara artis yang bakal menyemarakkan acara tersebut termasuk bakat-bakat tanah air seperti penyanyi rap, ALYPH yang kini popular dengan karya terbarunya berjudul 'SWIPE'.
Malah, penyanyi dan penulis lagu dari Malaysia, Shila Amzah juga akan membuat penampilan istimewa.
Beliau akan menyerikan acara itu dengan menyanyikan lagu-lagu dalam Bahasa Inggeris dan Mandarin.
(Gambar: Mediacorp)
Shila Amzah kembali menjadi tumpuan ramai setelah menyertai pertandingan Gegar Vaganza dan menjadi pemenang ketiga bagi musim ke-9 pertandingan itu.
ZHIN SADALI ANTARA HOS BARU LET'S CELEBRATE 2023
Selain barisan penyanyi yang hebat, Mediacorp juga akan memperkenalkan gabungan empat hos baru untuk acara tahun ini.
(Gambar: Mediacorp)
Ia termasuk pencipta kandungan digital, Zhin Sadali, 29 tahun yang bakal membuat kemunculan pertama sebagai pengacara buat acara itu.
Beliau akan mengacarakan acara itu bersama deejay stesen radio 987, Germaine Tan dan Maya Davidov, serta seorang lagi pencipta kandungan digital, Kishan J.
"Perasaan saya amat teruja sekali kerana telah diberi kepercayaan. Walaupun pengalaman saya dalam industri ini tidak begitu banyak seperti hos-hos yang lain, tetapi saya berbangga (dengan) apa yang saya sudah dapat meraih selama ini," kongsi Zhin.
"Saya berasa begitu takut dan gementar kerana ni adalah acara yang (saya) akan hos secara langsung buat pertama kali. Di studio selalunya boleh diulang-ulangkan? Ini secara langsung jadi pengalamannya amat berbeza. Dan latihannya juga agak intensif kerana kita harus bersedia untuk apa-apa kejadian hujan, melampaui waktu," menurutnya lagi.
Meskipun sudah menjadi pengacara bagi beberapa rancangan di Suria, perasaan gementar tetap dirasakan.
"Sepanjang 2022, kebanyakan rancangan saya adalah dalam Bahasa Melayu. Jadi untuk acara Let's Celebrate 2023 ini, (ia) dalam Bahasa Inggeris," luah Zhin.
"Jadi tahap Inggeris itu harus lebih baik daripada yang biasa. Jadi saya selalunya bertutur dalam Bahasa Inggeris bila saya boleh dan saya juga harus berlatih dengan menghafal skrip, kalau ada jurang dari segi masa sebelum pertunjukan bunga api, (saya perlu) tahu dan berfikir bagaimana untuk memenuhi masa ini, macam mana saya ingin menyampaikannya kepada para penonton," tambahnya lagi.
CABARAN JADI HOS BAGI ACARA 'LIVE'
Menariknya, ia juga merupakan pertama kali Zhin berpeluang menggunakan 'in-ear monitor' atau alat monitor telinga khas buat acara secara langsung itu.
Ini menurutnya agak mencabar kerana beliau perlu bersedia secara mental dan tidak terjejas walaupun ada bunyi suara atau arahan yang diberikan menerusi alat tersebut.
Namun begitu, Zhin berkongsi bahawa beliau tetap teruja menjayakan acara besar itu selepas sekian lama orang ramai tidak berkumpul secara besar-besaran untuk menyambut tahun baru.
Orang ramai juga boleh menyaksikan 'Let’s Celebrate 2023' secara langsung di meWATCH dan saluran YouTube Mediacorp Entertainment bermula pukul 10.00 malam, dan dari 11.00 malam sehingga 12.15 pagi di Saluran 5.
Untuk lebih maklumat lanjut, orang ramai boleh mengunjungi laman mediacorp.sg/letscelebrate2023.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.