Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Zamani 'takut' jalani pembedahan tulang belakang pada November

Anggaran Waktu Membaca:
Zamani 'takut' jalani pembedahan tulang belakang pada November

Gambar: Agensi Berita

Diterbitkan : 12 Aug 2022 12:10PM Dikemas Kini : 12 Aug 2022 12:11PM
KUALA LUMPUR: Penyanyi legenda, Zamani, 51 tahun, akan menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis, awal November depan.

Vokalis kumpulan Slam yang menderita penyakit skoliosis sejak 2015 itu bersyukur, pihak hospital memberi jaminan peluang untuknya kembali sembuh selepas pembedahan, lapor BH Online.

"Tulang belakang sudah mencucuk tulang rusuk dan menghimpit jantung. Jadi, saya perlu melakukan pembedahan segera.

"Dahulu, saya agak takut apabila dimaklumkan tiada peluang untuk sembuh. Namun, yang diterima tidak tepat.

"Selepas melakukan ujian imbasan, doktor mengesahkan mempunyai harapan tinggi untuk sembuh. Namun, tidaklah boleh kembali kepada normal," katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Gerimis Mengundang dan Tak Mungkin Berpaling itu berkata, beliau memiliki dua pilihan pusat perubatan untuk melakukan pembedahan.

"Doktor memberitahu saya sudah boleh menjalani pembedahan pada Oktober ini. Cuma, saya terikat dengan beberapa komitmen kerja perlu diselesaikan terlebih dahulu.

"Jadi, Insya-Allah mungkin awal November. Dari segi kos pembedahan dianggarkan melebihi RM100,000 (S$30,755)," katanya yang ditemui pada sidang media konsert amal, Rhythm Of Legends di Istana Budaya pada Rabu (10 0gos).

Zamani berkata, buat masa ini, beliau perlu memakan ubat tahan sakit sementara menunggu pembedahan, lapor BH Online.

Namun, Zamani tidak menafikan perasaan takut menjalani pembedahan menghantui diri, apatah lagi, pembedahan dijangka mengambil masa lapan hingga sepuluh jam.

"Saya bukan sahaja gusar dan berdebar. Jika diberi pilihan, saya tidak mahu menjalani pembedahan dan cuba cari jalan lain, tetapi ini adalah pilihan terakhir.

"Saya difahamkan pembedahan akan mengambil masa antara lapan hingga sepuluh jam. Nak sembuh pula bergantung pada badan saya.

"Kalau semuanya baik, mungkin selepas dua minggu akan semakin pulih. Jika tidak, ia mengambil masa sebulan.

"Selain itu, saya juga perlu menjalani fisioterapi. Saya berharap pembedahan berjalan lancar dan mendapat kesembuhan walaupun saya tahu tidak mungkin sembuh 100 peratus," katanya.

Katanya, beliau juga akan terbabit dengan Konsert Doa Buat Zamani di Zepp KL sebelum menjalani pembedahan.

"Konsert ini bertujuan menemukan saya dengan peminat. Kita doakan baik-baik kerana saya juga tidak tahu apa yang akan berlaku.

"Jadi, ia diadakan agar peminat dapat mendoakan saya. Saya juga menjual tiket bagi mencari dana sampingan, tetapi apa yang penting niat mengadakan konsert untuk mendoakan saya.

"Tarikh belum ditetapkan, tetapi Insya-Allah awal November. Saya cuba dapatkan Slam.

"Jika mereka sudi, saya memang mengalu-alukan, namun, kalau tak boleh, saya akan jemput sebagai tetamu istimewa," katanya.

Sebelum itu, Zamani menjayakan konsert amal Rhythm Of Legends pada 29 dan 30 Oktober.

Zamani berkata, beliau teruja menjayakan konsert anjuran syarikat pengurusan, S Excellent dengan kerjasama pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Drug Free Malaysia yang bakal berlangsung di Dewan Plenari KLCC.

Ia turut menampilkan penyanyi popular lain seperti Hattan, Mawi, One Nation Emcee, Asmidar dan Rojer Kajol.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan