Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Zamani muncul menyanyi sekadar percubaan susuli pembedahan; masih perlu berehat lagi

Anggaran Waktu Membaca:
Zamani muncul menyanyi sekadar percubaan susuli pembedahan; masih perlu berehat lagi

(Gambar fail: zamanislam_official/Instagram)

KUALA LUMPUR: Penyanyi Zamani Slam, 51 tahun, menyifatkan kemunculannya dalam persembahan nyanyian di sebuah acara pada Ahad malam (4 Dis) sebagai medan percubaan untuk mengetahui tahap keadaan dirinya.

Ia menyusuli pembedahan yang dijalani Zamani bagi membetulkan tulang belakang yang melengkung akibat penyakit skoliosis. Pembedahan itu dilakukan di sebuah pusat perubatan swata di Cheras pada 7 November lalu, lapor agensi berita Harian Metro.
Zamani, atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, ketika dihubungi berkata bahawa ternyata ada kesan dialami selepas dia menjayakan persembahan itu. Ini membuatkannya mengambil keputusan untuk terus berehat lagi.

"Keadaan saya sihat, Alhamdulillah perkembangan pun semakin baik, cuma belum pulih sepenuhnya. Tetapi setakat ini, adalah beberapa tawaran menyanyi dah mula dapat."

"Bagaimanapun, saya tampil menyanyi dalam acara kelmarin sebenarnya sebagai medan percubaan. Nak tahu saya dah betul-betul boleh dan bersedia nak menyanyi atau belum."

"Tapi selepas itu (menyanyi), kesihatan saya kurang baik dan dah cuba dapatkan nasihat daripada doktor. Ada kesan pada badan saya selepas show (persembahan) dan saya ambil keputusan berehat lagi sampai keadaan diri betul-betul pulih," katanya kepada agensi berita Harian Metro.

Meskipun keadaannya sudah baik, Zamani berkata beliau masih perlu berehat lagi. Menurutnya, dia malah tidak perlu risau kerana dia hanya belum pulih dalaman oleh kerana masih cepat berasa penat.

"Apapun, perasaan saya ketika menyanyi pada malam kelmarin, memang gembira. Alhamdulillah, saya dah dapat menyanyi dengan berdiri tegak di hadapan penonton. Apatah lagi, maklum balas diterina juga sangat baik."

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang sudah mendoakan kesihatan saya. Jauh di sudut hati, saya sangat menghargai segala jasa baik dan keprihatinan diberikan. Cuma, sekarang saya kena berehat lagi," Harian Metro memetik kata-katanya.

Sebelum ini, pengacara terkenal Malaysia, Aznil Nawawi, meluahkan rasa gembiranya menerusi video yang dimuat naik ke TikTok tatkala melihat perkembangan kesihatan Zamani yang semakin pulih setelah menjalani pembedahan untuk membetulkan tulang belakang yang bengkok baru-baru ini.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan