Zamani – cabaran dibelenggu penyakit skoliosis & peluang konsert di Esplanade 7 April ini
Sayangnya peminat-peminat penyanyi Zamani terhadapnya sehingga ramai yang sanggup ingin membawanya untuk mendapatkan rawatan agar sakit tulang belakang Zamani dapat dikurangkan.
(Gambar-Gambar: Zamani Slam Official Instagram/Instagram)
BERITAmediacorp: Sayangnya peminat-peminat penyanyi Zamani terhadapnya sehingga ramai yang sanggup ingin membawanya untuk mendapatkan rawatan agar sakit tulang belakang Zamani dapat dikurangkan.
Vokalis kumpulan Slam itu sebenarnya sudah lama dibelenggu penyakit tulang belakang bengkok atau skoliosis selama beberapa tahun sehingga beliau terpaksa mengambil ubat penahan sakit sekiranya ia amat sakit. Namun, Zamani tidak pernah terlibat dalam sebarang kemalangan mahupun terjatuh sebelum ini.
“Ramai peminat nak bantu bawak pergi sana sini. Saya belum bersedia sebab tiada masa. Saya pun dah dapat nasihat doktor. Dia kata saya kan dah 48 tahun jadi tulang macam susah sikit nak buatlah. Kalau operasi pun mungkin ada efek dan peratusan untuk saya baik tak berapa tinggi,” cerita Zamani.
Sekiranya perlu mengambil ubat penahan sakit, ia hanya sesekali sahaja kerana Zamani bimbang pengambilan ubat penahan sakit yang berlebihan boleh memudaratkan buah pinggang dan ulu hati seseorang.
UNTUNG PEMINAT FAHAM KEADAAN ZAMANI
Apakah skoliosis itu menjejas kehidupan sehariannya termasuk ketika membuat sebarang persembahan?
“Saya tak boleh nak buat sesuatu benda lama, mungkin kalau berdiri tak boleh lama sangat, akan rasa sengal dan tak selesa, duduk lama pun tak boleh tapi untuk persembahan 90 minit saya cubalah. Kalau teruk sangat, saya terpaksa ambil ubat penahan sakit sebelum persembahan dimulakan.
Yang pasti, beliau beruntung kerana peminat sangat memahami keadaannya. Sekiranya ada acara Meet And Greet, mereka sanggup menunggu seketika apabila Zamani perlu rehat sekejap sebelum meneruskan aktiviti selanjutnya.
“Selalunya kalau sengal dan sakit datang, mesti baring setengah jam. Saya makan ubat tapi kalau tengah show ia akan diteruskan,” tambahnya bersungguh-sungguh kepada penulis.
ZAMANI ANTARA PENYANYI PALING LARIS DI SINGAPURA & MALAYSIA?
Meskipun begitu, rezeki tetap menyebelahinya kerana Zamani bijak menangani masalah skoliosis tersebut. Sebagai contoh, dia kerap menerima banyak undangan persembahan di seluruh Malaysia dan juga di Singapura.
Dari pengamatan penulis, ia sekaligus meletakkan Zamani sebagai penyanyi Malaysia paling laris di Singapura berdasarkan dari jumlah persembahan berskala besar yang diterimanya di sini.
“Syukur Alhamdulillah. Terima kasih banyak kepada peminat-peminat Singapura,” kata Zamani. “Kalau mereka tak sokong saya mungkin tak jadi macam ni kan? Saya harap show saya di Esplanade dapat sambutanlah.”
Konsert itu diadakan sedang Zamani baru bulan ini mengedarkan single terbarunya berjudul Aduh. Beliau sempat bergurau tentang tajuk lagu tersebut:
“Lagu perlahan tapi moden pop stail Faizal Tahir. Saya pun pernah simpan hasrat nak bekerjasama dengan Faizal Tahir. Cuma tajuk lagu itu Aduh. Ada yang ingatkan ia lagu dangdut.”
2 PERSEMBAHAN DI S’PURA DALAM 30 HARI
Zamani tidak menafikan bahawa penyertaannya untuk pertandingan Gegar Vaganza pada tahun lepas berjaya membuka jalan untuk beliau lebih banyak menerima undangan persembahan di Singapura sejak akhir-akhir ini.
Kali terakhir beliau berkonsert di Singapura ialah pada tahun 2012 bersama kumpulan Slam. Presembahan solo Zamani pula adalah pada tahun 2015 bertempat di Joo Chiat dan baru-baru ini pula pada 9 Mac, beliau mengadakan persembahan di Hard Rock Café Singapura.
Tidakkah persembahan di Hard Rock Café itu Singapura itu terlalu dekat tarikh konsert beliau bulan April sehingga ada kemungkinan menjejas penjualan tiket?
Ini jawapan Zamani kepada kami:
“Sebenarnya saya pun rasa macam dekat jugaklah (tarikh). Memang ada sedikit kerisauan jugak sebab kita pun sedia maklum bila ia terlampau dekat mungkin salah satu itu pun akan terjejaslah. Kita pun faham dan terangkan pada penganjur-penganjur.”
CAKAP PASAL JODOH ZAMANI
Untuk konsert solo Zamani di Esplanade, beliau dijangka akan membuat persembahan selama 90 minit diiringi oleh sebuah band dari Singapura.
Pemilihan lagu-lagu tersebut diharapkan dapat menyuntik sedikit kelainan pada konsert solonya nanti.
Ketika diajak berbicara tentang jodoh, Zamani hanya memilih untuk mengatakan:
“Itu kuasa Allah sebab saya tak berani nak cerita. Dah banyak kali I cakap pasal jodoh ni. Belum lagi sampai. Cuma kita doakan sama-sama lah, Insya Allah.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.