Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Zamani berhasrat jumpa peminat di konsert 30 Sep ini sebelum jalani pembedahan

"Konsert itu bukan untuk mengejar keuntungan...Seandainya sesuatu berlaku, sekurang-kurangnya saya puas hati kerana dapat berjumpa peminat," kata Zamani.

Anggaran Waktu Membaca:
Zamani berhasrat jumpa peminat di konsert 30 Sep ini sebelum jalani pembedahan

Zamani Slam. (Gambar: Zamani Slam Official Fanpage/Facebook)

KUALA LUMPUR: Penyanyi kumpulan Slam, Zamani Ibrahim, 51 tahun, meluahkan harapan besar bertemu peminat di Konsert Doa Buat Zamani Unplugged yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada hujung bulan depan.

Ini kerana penyakit skoliosis atau tulang belakang membengkok menyebabkan beliau tidak pasti apa yang akan berlaku selepas menjalani pembedahan pada November kelak, lapor BH Online.

Malah pelantun lagu Gerimis Mengundang itu meluahkan hajat bertemu peminat kerana dimaklumkan bahawa terdapat risiko kecil bagi pembedahan tersebut, yang boleh memakan masa sehingga 10 jam itu.

"Konsert itu bukan untuk mengejar keuntungan, sebaliknya saya hanya mahu berkumpul dengan peminat kerana tidak tahu apa yang bakal terjadi selepas pembedahan.

"Seandainya sesuatu berlaku, sekurang-kurangnya saya puas hati kerana dapat berjumpa peminat," katanya di sidang media konsert itu baru-baru ini.

Konsert Doa Buat Zamani Unplugged dijangka berlangsung selama dua jam pada 30 September ini dan akan turut dibintangi Ramli Sarip, Fauziah Latiff dan Rahim Maarof serta menampilkan Aznil Nawawi.

Bahkan, kata Zamani, konsert itu dirancang sebelum Aznil melancarkan dana bagi membiayai kos pembedahannya kerana beliau lebih selesa mengumpul dana menerusi konsert sedemikian.

<<BACA: Aznil Nawawi kumpul lebih RM100,000 bantu biaya pembedahan tulang belakang Zamani

Aznil Nawawi serah kutipan dana buat Zamani; bantu biaya pembedahan tulang belakang>>
Namun demikian, beliau tetap berterima kasih atas usaha dan sokongan Aznil mengumpul lebih RM100,000 (S$30,000) untuknya.

"Saya lebih suka menganjurkan konsert agar peminat boleh bersama-sama membeli tiket.

"Itu membuktikan peminat sayang dan terima saya. Tetapi jika mereka tidak dapat datang beri sokongan pada malam itu, tidak mengapa.

"Cukuplah doakan saya dari jauh," katanya yang bakal mendendangkan enam lagu solo antaranya Syair Si Pari Pari, Nur Kasih dan Rindiani di konsert itu.

Menurut Zamani, penonton akan dihidangkan dengan 15 lagu kesemuanya di dewan yang dijangka mampu memuatkan sekitar 1,400 penonton.

"Saya amat berharap tiket konsert habis dijual," katanya.

Dalam laporan BH Online, Zamani berkata kos pembedahannya agak mahal iaitu antara RM80,000 (S$25,000) hingga RM100,000 (S$30,000).

"Jika antibodi lemah, proses untuk sembuh boleh mengambil masa hingga enam bulan," katanya.

"Pembedahan harus dilakukan kerana tulang sudah mencucuk ke rusuk, jantung dan paru-paru. Ini menyebabkan saya sakit sepanjang masa hingga perlu menelan ubat tahan sakit.

"Sebelum ini, skoliosis yang saya alami tidak sakit. Tetapi sejak tulang mula mencucuk rusuk, jantung dan paru-paru, saya tidak mampu lagi menahan sakit.

"Jadi, pembedahan harus disegerakan biarpun ia pilihan terakhir saya," katanya dalam laporan BH Online.

Tiket Konsert Doa Buat Zamani Unplugged dijual antara RM238 (S$75) hingga RM499 (S$155).
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan