Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Zaleha Hamid mula tunjuk perkembangan positif, kata suaminya

Penyanyi veteran, Zaleha Hamid yang diserang angin ahmar sejak Disember lepas, kini sudah mula menunjukkan perkembangan positif.

Anggaran Waktu Membaca:
Zaleha Hamid mula tunjuk perkembangan positif, kata suaminya

Penyanyi dangdut era 80-an, Zaleha Hamid. (Gambar-gambar: Zaleha Hamid)

Diterbitkan : 20 Feb 2020 05:11PM Dikemas Kini : 20 Feb 2020 05:14PM

JOHOR BAHRU: Penyanyi veteran, Zaleha Hamid yang diserang angin ahmar sejak Disember lepas, kini sudah mula menunjukkan perkembangan positif.

Suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 55, berkata Zaleha atau nama penuhnya, Siti Zaleha Abdul Hamid, 65, yang diserang angin ahmar pada sebelah kiri badan, sudah mampu menggerakkan jari kaki dan tangan kirinya, minggu lepas.

Beliau berkata perkembangan positif tersebut memberi harapan buatnya untuk melihat isterinya yang mesra dipanggil ‘Mama’ kembali ceria seperti dahulu.

“Seminggu lepas, Mama (Zaleha Hamid) sudah mula boleh menggerakkan jari kaki dan tangan kiri, malah selepas sebulan sakit, Mama juga sudah boleh rasa (deria) sakit di bahagian badan.

“Saya dan anak, kalau boleh setiap kali selepas mandi mesti akan urut seluruh badan, menggerakkan tangan dan kaki, bersenam sedikit supaya kaki dan tangan Mama tidak kejang,” katanya yang ditemui pemberita di rumahnya di Taman Skudai Baru, Johor Bahru, awal minggu ini (18 Feb).

GUNA LAMPIN PAKAI BUANG, ‘MAKAN’ GUNA TIUB

Terdahulu, Ungku Sulaiman menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar menerusi Program Ziarah Kasih anjuran Kelab Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor.

Bapa kepada dua anak lelaki itu berkata terdapat beberapa rakan artis seperjuangan isterinya seperti penyanyi veteran Kamalia Latiff dan A. Rahman Onn yang sentiasa memberi kata-kata semangat selain melawat serta menghulurkan bantuan.

Beliau berkata, pertuturan Zaleha kini turut terbatas selepas diserang sakit berkenaan selain perlu memakai lampin pakai buang dan diberi susu melalui tiub.

“Kini, Mama tidak boleh tertinggal ubat cairkan darah dan ubat bagi menurunkan tahap kalsium yang dibekalkan Hospital Sultanah Aminah.

“Mama juga disyaki ada tiroid tetapi saya berharap Mama cepat sembuh dan ceria seperti selalu sebab doktor pakar menjelaskan angin ahmar Mama ini mungkin boleh sembuh dalam masa enam bulan,” katanya.

URUSAN PERUBATAN AKAN DIPERCEPATKAN

Sementara itu, Encik Mohd Khuzzan berkata pihaknya akan membantu mempercepatkan sebarang urusan perubatan Zaleha di hospital.

Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan Majlis Kebudayaan Negeri Johor akan melihat bantuan lain yang boleh diberikan kepada penyanyi berkenaan dan melakukan lawatan dalam masa terdekat.

Zaleha yang merupakan anak kelahiran Taiping, Perak dan popular dengan lagu Dangdut Reggae, sebelum ini dilaporkan terjatuh di bilik air ketika mahu mengambil air sembahyang pada waktu subuh, Disember lepas, sebelum disahkan mengalami angin ahmar.

Kejadian itu berlaku selepas beberapa hari penyanyi popular pada era 80-an itu membuat persembahan di program realiti Gegar Vaganza, di ibu kota.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan