Zaiton Sameon terus Menaruh Harapan agar ingatannya pulih kembali 100%
Anda masih ingat lagi bait-bait lirik lagu ini?
Zaiton Sameon. (Gambar-gambar: Zaiton_Sameon56/Instagram)
BERITAmediacorp: Anda masih ingat lagi bait-bait lirik lagu ini?
Dulu aku sendiri, kini masih sendiri, hadapi hidup ini
Susah senang diriku, tak bertempat mengadu
Seperti burung kepatahan sayap
Di hati kecilku menaruh harapan…
Itulah lagu Menaruh Harapan nyanyian Zaiton Sameon, yang ditulis oleh penulis lirik Habsah Hassan yang melodinya dihasilkan oleh komposer A. Ali pada tahun 1987. Lagu balada itu memperkenalkan Zaiton Sameon kepada industri hiburan selain lagu Kabut Serangkai Mawar.
Namun, dunia hiburan terkejut apabila Zaiton terlibat dalam satu kemalangan ngeri di Batang Kali, Selangor pada 21 Februari 1990 bersama anak lelaki tunggalnya selepas mengadakan persembahan. Anak lelaki Zaiton berusia 13 tahun meninggal dunia sementara Zaiton Sameon mengalami kecederaan teruk dan terlantar koma ketika itu.
Beliau juga dilaporkan mengalami gangguan emosi dan hilang ingatan disebabkan kemalangan tersebut sehingga ia merubah kehidupannya 360 darjah.
Namun dari pengamatan penulis, meskipun beliau tidak banyak bercakap untuk temu bual ini, ingatan beliau tetap jelas tentang perjalanan hidupnya sehingga ke hari ini. Tarikh kemalangan tersebut pun beliau masih ingat.
INGATAN ZAITON SAMEON SUDAH 90% PULIH
Zaiton Sameon berkongsi dengan kami bahawa ingatannya sekarang sudah pulih sebanyak 90 peratus.
“Alhamdulillah. Saya sentiasa sembahyang dan berdoa minta pada Tuhan kalau panjang umur, pulihkanlah ingatan saya cepat, kembalikanlah ingatan saya untuk menyanyi. Murahkan rezeki saya,” katanya kepada kami.
Namun, beliau sempat berpesan agar pihak kami tidak bertanya kepadanya lebih lanjut lagi mengenai kemalangan ngeri tersebut agar beliau tidak “teringat-ingat” mengenai insiden tersebut yang akan membuatnya sedih.
Penyanyi veteran itu bersyukur berpeluang untuk menunaikan umrah untuk kali kedua pada awal tahun 2018 bersama barisan artis lain termasuk penyanyi-penyanyi seperti Ibnor Riza, Shima, Sahara Yaacob dan Aida Agil. Anak angkatnya, Ika Ismail, turut mengikutinya ke Tanah Suci. Kali pertama Zaiton menunaikan umrah ialah pada tahun 1995.
TERPAKSA MENYANYI UNTUK TERUSKAN HIDUP
Zaiton yang kami hubungi menerusi panggilan jauh, ceria apabila ditanya mengenai lagu popularnya Menaruh Harapan. Lagu itu sememangnya dirakamkan sebelum beliau terlibat dalam kemalangan yang hampir meragut nyawanya itu.
“Rakam lagu sebelum arwah meninggal. Masa I rekod lagu ini I menangis tau, I sedih ‘Dulu aku sendiri, kini aku masih sendiri, hadapi hidup ini. Susah senang diriku tak bertempat mengadu’,” katanya sambil mengalunkan melodi lagu tersebut.
“Ia mengenai kisah hidup I, jadi I terpaksa menyanyi untuk teruskan hidup,” tambahnya terhenti seketika.
Apabila beliau memenuhi undangan nyanyian dan diminta untuk menyanyikan lagu tersebut, ia akan membuatnya sedih disebabkan lirik lagu tersebut yang begitu menyentuh perasaannya.
Beliau bagaimanapun begitu bersyukur kerana masih lagi menerima undangan menyanyi di seluruh Malaysia termasuk Singapura. Peminat-peminat di Singapura begitu menyayanginya sehingga ada yang menangis apabila berjumpa penyanyi kesayangan mereka itu, kongsinya.
Apabila mereka menangis, Zaiton turut terharu dan menangis juga. Tidak kurang juga peminat yang mendoakan agar beliau sihat kembali.
Semasa penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu ke Singapura baru-baru ini untuk menyaksikan konsert Black Dog Bone, kehadiran beliau disambut baik oleh para penonton yang teruja akan kehadirannya.
“I INGAT I DAH TERBUANG”
Setelah kehilangan anak kandungnya, beliau ditemukan pula dengan seorang anak angkat bernama Ika di salah sebuah restoran di Johor Bahru semasa menyanyi di restoran tersebut beberapa tahun lepas. Pengenalan tersebut merubah kehidupan penyanyi tersebut. Kini segala urusan undangan nyanyian diuruskan oleh Ika.
Sudah enam tahun Zaiton tinggal bersama anak-angkatnya itu. Beliau bergurau:
“I ingat I dah terbuang. Lagu Menaruh Harapan ada makna, masih menaruh harapan untuk teruskan hidup. Sekarang ini menadah impian pulak.”
Dalam diam, Zaiton Sameon sempat juga merakamkan sebuah lagu duet bersama sahabatnya Syed Wafa pada tahun 2017 menerusi lagu berjudul Rindu Pelukan Bonda yang ditujukan khas kepada arwah anaknya yang sangat dirinduinya. Lagu balada tersebut dicipta oleh komposer S. Atan manakala liriknya ditulis oleh Siso.
(Gambar: Syed Wafa)
Tapi, mengapa rakam lagu duet dan bukan lagu solo?
“Eton (Zaiton) kan pernah alami kemalangan teruk. Dia rehat dari industri untuk beberapa tahun. Pada waktu itu ingatan dia tak berapa elok lagi, jadi bila dia tahu anak dia dah tiada, dia sedih. Dia masih mengharapkan anak dia masih ada. Dia jumpa Wafa sendiri dan kata dia nak sebuah lagu berduet dengan I khas untuk anak dia.
“Dia kata dia rindukan pelukan anak dia. Itu yang dibuat lagu Rindu Pelukan Bonda,” terang Syed Wafa yang menemani Zaiton ketika dihubungi.
Sebagai sahabat yang dekat dengan Zaiton Sameon, beliau mendapati bahawa Zaiton benar-benar merinduinya anaknya yang sudah lama meninggalkannya .
“Dia buat saya insaf. Kalau Allah nak duga kita, bila-bila masa sahaja. Dia pernah dipuja, peminat, kejar dia tiba-tiba dia jadi macam itu setelah kemalangan, koma,” ujar Syed Wafa yang menambah bahawa banyak juga pihak yang menghulurkan bantuan ketika Zaiton dilanda musibah.
“Alhamdulilah, kementerian pun banyak membantu. Sultan-sultan pun banyak beri sumbangan, kawan-kawan artis datang melawat. Seingat Wafa yang selalu melawat dia ialah Kak Pah (Datuk Sharifah Aini). Datang ke hospital bacakan Yaasin untuk dia,” kongsi beliau lagi.
Semoga tahun 2019 ini memberi lebih banyak sinar harapan kepada Zaiton Sameon dan semangat kental untuk terus menyanyi. Selamat Tahun Baru Zaiton Sameon!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.