Yuna semat kisah hidup dalam filem pendek 'Wanita Besi'
Penyanyi Malaysia yang meraih perhatian di peringkat antarabangsa, Yuna mendedahkan kisah peribadinya dalam filem pendek berjudul 'Wanita Besi'.

Yuna. (Gambar: Instagram Yuna)
MALAYSIA: Penyanyi Malaysia yang meraih perhatian di peringkat antarabangsa, Yuna mendedahkan kisah peribadinya dalam filem pendek berjudul 'Wanita Besi'.
Menurut Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara'ai, filem pendek berdurasi 10 minit itu bakal dilancarkan pada 25 Jun ini di laman YouTube.
"Filem pendek tersebut diterbitka khas untuk produk Pantene. Saya menceritakan sedikit tentang pengalaman peribadi saya. Misalnya, kisah saya ketika di zaman persekolahan dan waktu mula menceburkan diri dalam bidang hiburan," kata Yuna kepada Astro Awani.
Beliau menambah: "Semasa zaman persekolahan, saya gemar menulis lirik dan suka berangan dalam kelas. Ada juga kisah tentang pihak yang menyuruh saya membuka tudung jika saya mahu berjaya dalam bidang hiburan."
"Saya kumpulkan kisah tersebut dan ia diceritakan dalam Wanita Besi dan saya harap ia dapat menjadi inspirasi untuk wanita di luar sana," kata Yuna yang dilantik menjadi duta Pantene.
Dalam perkembangan terbaru, wanita berusia 32 tahun ini teruja menyambut Syawal bersama keluarga barunya, lapor Astro Awani.
"Tahun ini menjadi pengalaman pertama saya menyambut Lebaran dengan gelaran isteri. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.
"Cuma kami berdua tidak menyambut hari pertama Raya kerana ketika itu, kami berada di lapangan terbang untuk menanti penerbangan transit pulang ke Malaysia.
"Saya menyambut raya di Lembah Klang sahaja kerana rumah keluarga suami dan rumah keluarga saya sangat dekat. Selepas itu, kami sempat pulang ke kampung di Perak untuk bertemu dengan keluarga lain di sana," katanya kepada Astro Awani lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.