Yasin terkilan, Jabatan Peguam Negara tolak representasi kaji 3 tuduhan kes dadah
Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan penyanyi nasyid dan komposer Malaysia, Muhammad Yasin Sulaiman bagi mengkaji tiga tuduhan kes dadah dihadapinya.
(Gambar: BERNAMA)
PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan penyanyi nasyid dan komposer Malaysia, Muhammad Yasin Sulaiman bagi mengkaji tiga tuduhan kes dadah dihadapinya.
Representasi adalah satu surat yang dirujuk kepada pendakwaan negeri atau pusat bagi melampirkan fakta dan faktor kenapa tuduhan yang dikenakan patut diubah kepada tuduhan yang lebih ringan atau dilepaskan daripada tuduhan berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah berkata surat rasmi berhubung keputusan semalam itu (10 Jan) bagaimanapun belum dikeluarkan kepada pihak pembelaan penyanyi terkenal dengan lagu Mimpi Laila berkenaan, lapor BH Online.
"Saya percaya prosiding seterusnya ialah tarikh perbicaraan, bermula 6 Mac depan," katanya pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Nik Nasimah Nik Mohammad pada Rabu (11 Jan).
Peguam komposer berkenaan, Ariff Azami Hussein mengesahkan pihaknya sudah dimaklumkan mengenai keputusan penolakan itu.
"Kami mengucapkan terima kasih walaupun belum menerima makluman mengenai perkara itu secara bertulis atau e-mel. Kami sudah bincang dengan anak guam dan mendapat arahan terkini untuk memfailkan representasi kedua.
"Keputusan itu dicadangkan dalam tiga ke empat minggu akan datang dan kami akan memasukkan permohonan representasi itu selewat-lewatnya dua minggu dari hari ini," katanya seperti dinukil laporan BH Online.
Hakim kemudian menetapkan 20 Februari depan untuk sebutan representasi kedua berkenaan.
Sementara itu, Encik Ariff Azami ketika ditemui di luar mahkamah berkata representasi pertama yang ditolak semalam tidak bermakna perwakilan seterusnya akan menerima nasib sama.
"Representasi kedua ada perubahan terma dengan menambah baik isi kandungannya, termasuk isu perubatan serta luahan isi hati Muhammad Yasin," katanya.
Muhammad Yasin pula menegaskan dia sendiri akan menulis pernyataan kedua itu sambil menzahirkan rasa terkejut, terkilan dan sedih dengan keputusan AGC.
"Saya akan terus berjuang. Apabila tuhan cakap 'kun faya kun' bermaksud 'jadilah, maka ia akan berlaku'," katanya seperti dinukil laporan BH Online.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan kes Muhammad Yasin selama 15 hari bermula 6 Mac tahun depan.
Penyanyi nasyid itu didakwa mengambil dadah jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya pada pukul 11.05 malam pada 24 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 (S$1,523) atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis ganja seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya jenis ganja, di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara pada pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu.
Tuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 Akta ADB dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi tuduhan menanam pokok ganja, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dipenjara seumur hidup serta sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.