Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Yasin mula rawatan bipolar; sebutan kes seterusnya pada 22 Jun

Anggaran Waktu Membaca:

PETALING JAYA: Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, sudah mendapatkan rawatan penyakit bipolar yang pertama di Hospital Sungai Buloh pada Selasa (17 Mei) sejak dia berdepan dua tuduhan menanam 17 pokok ganja dan mengedar 214 gram dadah pada 31 Mac lalu.

Peguam Ariff Azami Hussien, yang mewakili Muhammad Yasin, memaklumkan perkara itu semasa sebutan kes berkenaan pada Rabu (18 Mei) di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jamaludin Mat dan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Encik Ariff berkata rawatan psikiatrik yang perlu diberikan kepada Muhammad Yasin sudahpun diuruskan oleh pihak Penjara Sungai Buloh selepas permohonan tersebut dibuat pada tarikh sebutan lalu (31 Mac).

“Anak guam (Muhammad Yasin) telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh semalam untuk mendapatkan rawatan yang dipohon walaupun sedikit lewat dibawa ke hospital. Kami rakam ucapan terima kasih kepada mahkamah dan penjara kerana memungkinkan rawatan ini.

“Anak guam juga akan menerima rawatan susulan dalam tempoh enam minggu di Hospital Sungai Buloh,” kata Encik Ariff yang hadir bersama seorang lagi peguam, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff. 

Awal dari itu, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim dan Maryam Jamilah Ab Manaff memberitahu mahkamah bahawa laporan kimia masih belum diperoleh. Mereka memohon tarikh sebutan lain bagi menyerahkan laporan tersebut.

Kedua-dua mahkamah menetapkan sebutan kes itu pada 22 Jun ini untuk penyerahan laporan kimia.

Prosiding di mahkamah hari ini turut dihadiri Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan abang Muhammad Yasin, Zain.

Pada 31 Mac lalu, pelantun lagu ‘Mimpi Laila’ itu didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah, yang mana ganja boleh diperolehi daripadanya sama ada secara terus atau secara tidak langsung di kediamannya di Kondominium Casa Indah, Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta sama, yang memperuntukkan penjara seumur hidup serta sebat tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Bapa kepada dua anak itu juga didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja dengan anggaran berat 214 gram di lokasi, masa dan tarikh yang sama, 

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dia boleh dijatuhkan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 kali sekiranya didapati bersalah. 

Muhammad Yasin, 47 tahun, ketika ditemui wartawan selepas prosiding itu berkata beliau berterima kasih kepada Syed Saddiq dan rakan-rakannya yang hadir di mahkamah hari ini (18 Mei) bagi memberi sokongan kepadanya.

Kelihatan beberapa ahli kumpulan nasyid Brothers menyanyikan lagu ‘Teman Sejati’ semasa Muhammad Yasin keluar dari mahkamah.

Sementara itu, Zain berkata ahli keluarga melawat Muhammad Yasin di Penjara Sungai Buloh pada setiap minggu bagi memberi sokongan kepada adiknya itu.

“Kami (ahli keluarga) memberi sokongan yang tidak putus kepada Yasin sebab tak nak dia rasa kecewa dan akan pastikan dia makan ubat secara konsisten. Anak-anak dia juga berada dalam keadaan baik dan Yasin telefon mereka seminggu sekali,” kata Zain. 

Dalam pada itu, Syed Saddiq, yang juga Pengerusi Kaukus Medical Cannabis, berkata beliau sudahpun berjumpa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk memperhalusi cadangan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan.

“Saya sebaik mungkin akan membantu dalam isu ini supaya ia dilihat daripada sudut data dan sains,” kata beliau. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan