Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Yasin diperintah jalani pemeriksaan mental; sebutan selanjutnya pada 22 Jun

Anggaran Waktu Membaca:

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya pada Isnin (8 Mei) memerintahkan penyanyi nasyid dan penggubah lagu, Muhammad Yasin Sulaiman dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan tahap kesihatan mentalnya.

Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Muhammad Yasin, 48 tahun, supaya anak guamnya diperiksa oleh pakar psikiatrik.

"Permohonan itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dan terdapat asas kuat untuk kesihatan mental anak guam diperiksa oleh pakar psikiatrik.

"Pemerhatian perlu dibuat untuk memastikan sama ada dia layak untuk dibicarakan atau tidak. Pembelaan juga telah mengemukakan lima laporan perubatan antara lainnya mengesahkan sejarah kesihatan mental Yasin yang menghidap penyakit Bipolar Disorder Type 1 sejak 2007," kata Encik Ariff Azami yang turut mengendalikan kes bersama peguam Nur’Ain Shahiera Khalid.

Menurut Encik Ariff Azami, laporan-laporan itu juga menunjukkan Muhammad Yasin pernah diserang 'simptom manic' yang boleh membahayakan dirinya.

Encik Ariff Azami berkata laporan terkini yang dikeluarkan oleh Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC) turut mengesahkan keadaan mental dan kesihatan Muhammad Yasin semakin merosot sehingga boleh membahayakan nyawa.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Muhamad Amin berkata pihak pendakwaan tidak membantah permohonan peguam bela itu dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah. 

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Jun untuk sebutan bagi laporan psikiatrik.

Pada 15 Mac lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak permohonan representasi ketiga Muhammad Yasin bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah yang dihadapinya.

Penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya pada pukul 11.05 malam 24 Mac 2022.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 (S$1,496) atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara pada pukul 5.30 petang, tarikh yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6 Akta ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan dan Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan