Yantzen dibenar pulang ke rumah selepas bermalam di atas bumbung, 2 hari di PPS

(Gambar: Yantzen/Instagram)
KUALA LUMPUR: Penyanyi rock, Yantzen mengucapkan rasa syukur kerana akhirnya sudah boleh pulang ke rumah selepas dua hari berada di Pusat Penempatan Sementara (PPS).
Yantzen memberitahu Astro AWANI bahawa dia melakukan kerja-kerja pembersihan bersama anak, kawan-kawan dan jiran.
"Selepas dua malam tidur di PPS mereka maklumkan air sudah surut dan boleh pulang ke rumah. Kami mula menjalankan kerja-kerja pembersihan.
“Sekarang saya dah boleh di rumah sebab dah bersih. Bekalan elektrik pun dah ada secara berperingkat mengikut kawasan.
“Terima kasih kepada semua yang membantu saya membersihkan rumah,” katanya yang kini berada di Terengganu melakukan kerja amal.
Tambah Yantzen, hampir kesemua barangan rumahnya rosak kerana ditenggelami air.
“Hampir semuanya rosak dan tak boleh digunakan lagi. Tetapi tidak mengapalah, saya terima semuanya dengan reda.
“Saya juga tidak akan berpindah dari sini,” katanya kepada Astro AWANI.
Sebelum ini, Yantzen, dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai (SKSS), Hulu Langat apabila kediamannya dinaiki air paras bumbung.
Air yang naik mendadak menyebabkan Yantzen terpaksa memanjat bumbung untuk menyelamatkan diri.
Yantzen tinggal bersendirian di Taman Sungai Serai Tambahan, Batu 12, Hulu Langat dan diselamatkan Anggota Tentera Malaysia (ATM) selepas satu hari bermalam di atas bumbung.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.