Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Will Smith naik angin Chris Rock persenda isteri sewaktu Majlis Oscar 2022

Anggaran Waktu Membaca:

LOS ANGELES: Majlis Oscar 2022 yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia dicemari dengan kejadian pelakon terkenal Will Smith yang menampar selebriti Chris Rock di pentas anugerah berprestij itu di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat pada Ahad malam (27 Mac) (Isnin pagi waktu tempatan).

Insiden itu berlaku gara-gara Smith naik berang apabila Rock mempersenda isterinya, Jada Pinkett-Smith yang kini muncul dengan imej botak, lapor Astro AWANI. 

Sejurus selepas melakukan tindakan yang mengejutkan seluruh khalayak penonton, Smith turun dari pentas dan kembali ke tempat duduknya sebelum menjerit ke arah Rock dengan mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan.

Bagaimanapun, penonton di rumah tidak berpeluang mendengar apa yang keluar dari mulut Smith berikutan audio disenyapkan, seperti dinukil Astro AWANI. 

‘Drama’ Oscar 2022 itu bermula apabila Rock berada di pentas itu untuk menyampaikan anugerah bagi kategori Dokumentari Terbaik.

Seperti kelazimannnya, Rock yang sangat sinonim dengan sikap humornya mula bergurau dengan penonton dan sebaik terpandang wajah Smith dan Jada, dia membuat keputusan bersenda dengan pasangan suami isteri itu.

Namun, Rock tidak menyedari tindakannya itu hanya mengundang kemarahan Smith yang juga calon bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem King Richard.

Guruan Rock terhadap Jada yang kini muncul dengan imej botak berikutan masalah kesihatan itu lebih sesuai untuk membintangi filem G.I. Jane hanya mengundang padah.

Kepada Smith, apa yang disebut Rock bukan lagi gurauan, sebaliknya, tindakan itu satu penghinaan.

Seluruh penonton yang menghadiri acara anugerah itu tergamam melihat apa yang berlaku di pentas, menurut Astro AWANI. 

Menurut laporan portal berita antarabangsa, ejen publisiti Smith, Meredith O. Sullivan bergegas menuju ke arah pelakon ternama itu dan mengajaknya berbincang ketika siaran berhenti rehat.

Turut kelihatan pelakon senior, Denzel Washington yang mengajak Smith untuk berbincang secara tertutup.

Smith kemudian ditabalkan sebagai pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Oscar 2022. Sewaktu ucapannya, beliau memohon maaf secara terbuka kepada penganjur Anugerah Academy itu serta seluruh penggiat seni berikutan tindakannya sebelum itu. 

Meskipun beliau tidak mengemukakan permohonan maaf itu pada Rock secara langsung, beliau yang sedang menangis itu membuat perbandingan dengan wataknya dalam filem King Richard. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan