Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Will Smith minta maaf secara terbuka kepada Chris Rock

Anggaran Waktu Membaca:
Will Smith minta maaf secara terbuka kepada Chris Rock

(Gambar: Robyn Beck/AFP)

Diterbitkan : 01 Aug 2022 02:53PM Dikemas Kini : 01 Aug 2022 02:53PM
HOLLYWOOD: Pelakon terkenal Hollywood, Will Smith meminta maaf secara terbuka kepada Chris Rock menyusuli tindakannya menampar muka rakannya di pentas Anugerah Academy atau Oscar pada Mac lalu.

Dalam nada kesal, Smith, 54 tahun, secara peribadi mengakui, tindakannya ketika itu adalah sesuatu yang tidak dapat diterima sama sekali.

Permohonan maaf secara terbuka yang dibuat Smith menerusi video yang dikongsi di akaun media sosialnya itu dilakukan selepas Rock, 57 tahun, terus membisu dan langsung tidak menyentuh insiden beliau ditampar ketika mengendalikan Oscar 2022.

“Saya telah menghubungi Chris secara peribadi (untuk memohon maaf) dan menerima mesej dia tidak bersedia untuk bercakap dan bila tiba masanya, dia akan menghubungi saya nanti.

“Justeru, saya mahu beritahu di sini, Chris Rock, saya minta maaf kepada anda. Sikap saya tidak boleh diterima dan saya berada di sini apabila anda bersedia untuk bercakap tentangnya,” kata Smith dalam video tersebut.

Pada masa yang sama, Smith menyatakan kekesalannya kerana tidak meminta maaf kepada Rock pada hari kejadian di pentas yang sama sejurus selepas menerima trofi Pelakon Terbaik Oscar 2022.

"Sebetulnya, saya sangat tergamam pada saat itu," jelas pelakon utama filem King Richard itu lagi.

Selain meminta maaf kepada Rock, tujuan yang sama dilakukan Smith buat ibu Rock.

"Saya ada menonton wawancara dengan ibunya. Itu merupakan salah satu detik yang membuat saya berfikir bahawa banyak orang terluka pada saat itu.

“Jadi, saya ingin meminta maaf kepada ibu Chris. Saya ingin meminta maaf kepada keluarga Chris, khususnya Tony Rock (adik Chris). Kami punya hubungan yang baik," akui Smith lagi.

Dalam video itu juga, Smith berkata, perkara yang paling gentar dan tidak disenanginya ialah mengecewakan orang ramai.

“Saya tidak suka apabila orang hampa dengan apa yang saya lakukan, ia adalah sesuatu yang menyakitkan,” kata Smith.

Smith menggemparkan seluruh dunia apabila bertindak menampar muka Rock kerana pelawak itu berjenaka mengenai imej isterinya, Jada Smith dengan gaya rambut botak disebabkan oleh penyakit alopecia yang dihidapinya.

Tindakan Smith itu diselar banyak pihak kerana acara itu ditayangkan secara langsung dan ditonton oleh peminat filem antarabangsa di seluruh dunia.

Berikutan tindakannya itu, Smith dilarang menghadiri acara Oscar selama 10 tahun.

Langkah itu diputuskan oleh Lembaga Gabenor Akademi Seni dan Sains Filem.

Larangan itu bermakna Smith tidak akan menyampaikan salah satu anugerah utama di majlis anugerah Oscar tahun depan, seperti tradisi untuk pemenang pelakon terbaik.
 
Sumber : Agensi berita/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa