Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Warner Bros akan tayang semua filemnya serentak di pawagam, penstriman online

Kumpulan Warner Bros milik syarikat AT&T Inc pada Khamis (3 Dis) mengumumkan studio itu akan mengeluarkan semua filemnya pada 2021 secara serentak di pawagam dan melalui khidmat penstriman HBO Max.

Anggaran Waktu Membaca:
Warner Bros akan tayang semua filemnya serentak di pawagam, penstriman online

Lambang Warner Bros (WB) (Gambar: REUTERS/Eric Gaillard)

Diterbitkan : 04 Dec 2020 07:29PM Dikemas Kini : 04 Dec 2020 11:06PM

LOS ANGELES: Kumpulan Warner Bros milik syarikat AT&T Inc pada Khamis (3 Dis) mengumumkan studio itu akan mengeluarkan semua filemnya pada 2021 secara serentak di pawagam dan melalui khidmat penstriman HBO Max.

Ia merupakan satu langkah yang belum pernah dilakukan sebelum ini yang menekankan lagi cabaran dialami pengendali pawagam dan pastinya menjejas perniagaan mereka.

Filem yang dinanti-nantikan itu termasuk "Godzilla vs. Kong" dan "The Suicide Squad," yang akan ditawarkan di HBO Max selama sebulan bermula dari hari yang sama ia ditayangkan di pawagam, kata studio tersebut dalam satu kenyataan.

"Mortal Kombat," versi baru bagi "Dune" dan sekuel "Matrix" juga dijadual ditayangkan mengikut model penyiaran baru itu.

Harga saham AMC Entertainment, pengendali pawagam terbesar di dunia jatuh hampir 16 peratus manakala bagi pesaingnya Cinemark, sebanyak 22%. Saham AT&T naik sedikit.

Perubahan ini yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WarnerMedia, Jason Kilar, merupakan langkah paling agresif untuk membawa filem ke rumah dengan lebih cepat lagi.

Langkah itu juga mencetuskan kejutan besar di merata Hollywood.

Sejak sekian lama, panggung-panggung wayang menghalang percubaan pihak studio untuk memendekkan masa di mana pawagam boleh menayangkan filem baru secara eksklusif.

Para eksekutif Warner Bros berkata strateginya itu akan dilaksanakan selama setahun, dan didorong oleh pandemik COVID-19 yang membataskan aktiviti ke panggung wayang, menyebabkan banyak pawagan terpaksa ditutup.

Bagi para pelanggan, kos menonton filem di rumah pastinya lebih rendah berbanding ke panggung wayang. HBO Max misalnya menggenakan bayaran AS$15 (S$20) sebulan, manakala harga purata bagi dua tiket menonton filem di Amerika boleh mencapai AS$18.32 (S$24.40) pada 2019, menurut Persatuan Pemilik Pawagam Negara.

Jelas sekali, rancangan tersebut tidak disambut pengendali panggung wayang. CEO AMC Adam Aron berkata Warner Bros sanggup mengorbankan keuntungan di studio filem semata-mata untuk memajukan HBO Max. "Kami akan melakukan semua yang termampu untuk memastikan Warner tidak melakukannya sehingga menjejaskan kami," katanya Aron dalam satu kenyataan.

Seorang wakil Cinemark pula berkata Warner Bros tidak berkongsi butiran rancangannya dan ia akan membuat keputusan berdasarkan setiap filem yang ditayangkan.

Rangkaian pawagam terjejas terus dek pandemik COVID-19 dengan banyak yang terpaksa memberhentikan pekerja dan meminjam wang untuk terus beroperasi.

Pengendali lebih kecil pula melobi bagi bantuan pemerintah AS.

Cinemark dan AMC mencapai persetujuan dengan Universal Pictures untuk hanya menawarkan filem di rumah 17 hari selepas ia ditayangkan di panggung wayang.

Walt Disney Co juga sudah memindahkan beberapa filemnya dari panggung wayang ke khidmat penstriman Disney+. Syarikat itu dijangkakan mendedahkan perincian mengenai rancangan penstrimannya pada 11 Dis.  

Sumber : Reuters/NJ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan