Warga SG Shabir Amdan berjaya tarik perhatian, cipta lagu 'Pembuka' untuk Jamal Abdillah
Raja Pop Malaysia Jamal Abdillah dan Shabir Amdan (kanan) selepas menandatangani kontrak. (Gambar: Shabir Amdan)
This audio is generated by an AI tool.
Lagu itu juga bakal dipersembahkan di khalayak ramai pada 11 Julai ini di De Hall, Tai Seng Centre, Singapura.
Itulah yang dinamakan rezeki, yang berpihak kepada Shabir Amdan, yang juga pengarah syarikat tempatan UAiMAi Pte Ltd.
Shabir, 47 tahun, kini juga menetap di Kuala Lumpur sejak tahun lalu atas tuntutan kerja.
CIPTA LAGU DENGAN BANTUAN AI
Sebelum ini, Shabir pernah menghasilkan lirik lagu dan merakamkan beberapa buah lagu yang tidak dipromosikan.
Semasa dihubungi baru-baru ini, Shabir, yang pernah menganggotai kumpulan dikir barat Ambo Purba di bawah naungan Kelana Purba itu, berkongsi: “Saya ada melodinya yang saya masukkan ke dalam aplikasi kecerdasan buatan (AI).
"Ada sedikit perubahan dan saya beri isteri saya dengar. Dalam kepala saya, saya dah tahu penyanyi manakah yang boleh nyanyikan lagu itu.
"Kebetulan isteri saya pun kata yang sama iaitu Jamal Abdillah tanpa saya beritahu dia siapa penyanyi yang saya fikirkan waktu itu.”
Berbekalkan tekadnya itu, Shabir berusaha mencari jalan untuk menghubungi Jamal Abdillah menerusi pembantu peribadi Raja Pop Malaysia itu, Rahman.
'Demo' lagu juga dihantarkan dan Rahman kemudian berkata penyanyi bersuara emas itu menyukai lagu ciptaan Shabir.
Pembantu peribadi Jamal itu turut berkongsi dengan Shabir bahawa sebelum ini, ada penggubah lagu lain yang pernah menghasilkan 'demo' lagu untuk Jamal, namun tidak mendapat perhatian pelantun lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu.
Pada Mei lalu, buat pertama kalinya, Shabir berpeluang bertemu Jamal sendiri di belakang pentas semasa Jamal diundang untuk membuat persembahan.
Kontrak juga sempat ditandatangani dalam pertemuan yang cukup berharga bagi Shabir itu.
“Jamal kata dia memang suka lagu saya,” kongsi Shabir.
Ditanya tentang maksud tersirat lagu Pembuka, Shabir menjelaskan: "Lagu Pembuka diilhamkan oleh surah al-Fatihah, pembukaan al-Quran.
“Ia bukan sekadar bacaan. Apabila dibaca, ia boleh menjadi doa.”
CAPAI IMPIAN TERBITKAN LAGU
Shabir turut berusaha merealisasikan impiannya untuk menerbitkan lagu, dengan bantuan penyanyi Man Bai dengan menyewa studio milik beliau serta mendapatkan khidmat pemuzik kumpulan Slam iaitu Eddie.
“Eddie Slam tolong ubah semula lagu itu sedikit sebab saya gunakan aplikasi AI kerana saya mahukan 'human touch' untuk lagu saya juga.
"Saya masukkan melodi ke dalam aplikasi AI untuk mencantikkan melodi lagu saya sahaja sambil masukkan alat-alat muzik tertentu secara automatik. Ia membantu buat lagu saya mengikut citarasa saya,” jelasnya.
SIDANG MEDIA 'PEMBUKA BERSAMA JAMAL ABDILLAH'
Sidang media 'Pembuka bersama Jamal Abdillah' sempena pelancaran single Pembuka akan diadakan pada 11 Julai ini di Singapura.
Zazzleen adalah penyanyi serta personaliti televisyen yang pernah merangkul tempat keempat dalam pertandingan realiti One In A Million (OIAM) tahun lalu.
Menurut Shabir, Jamal sendiri yang menyarankan pelancaran singlenya itu dibuat di Singapura, memandangkan penciptanya berasal dari Singapura.
“Jamal juga rindu dengan orang Singapura dan peminat-peminat Singapura,” tambahnya.
Selain lagu 'Pembuka' yang bakal dipersembahkan untuk pertama kalinya di sini, Jamal dijangkakan membawakan dua lagu popularnya khas untuk peminat yang membeli tiket untuk acara tersebut.
Shabir turut melahirkan harapan agar lagu ciptaan beliau bagi Jamal Abdillah dapat diterima dan dikongsikan bersama semua peminat Jamal.
Yang lebih penting, katanya, agar mereka faham mesej yang terkandung dalam lagu tersebut.
Tiket-tiket untuk acara 'Pembuka bersama Jamal Abdillah' boleh diperolehi di laman Sistic.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.