Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Wahid Satay & Zaiton Abdullah kongsi pentas, singkap kerjaya sebagai anak seni

Siapa yang tidak kenal dengan seniman Wahid Satay dan seniwati Zaiton Abdullah?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Siapa yang tidak kenal dengan seniman Wahid Satay dan seniwati Zaiton Abdullah?

Dua legenda perfileman Melayu itu digandingkan di atas satu pentas dalam majlis Abadi Kenangan Legenda semalam (29 Okt).

Anjuran Wadah Seni Entertainment dengan kerjasama Wisma Geylang Serai, acara itu demi menjunjung bakti para pelopor seni tanah air atas jasa mereka.

Dalam satu segmen khas pula, seniman-seniman veteran itu menyingkap perjalanan mereka dalam dunia perfileman kepada semua hadirin.

Tiket-tiket sudah habis dijual namun ramai yang masih datang untuk mendengar dua ikon 'otai' filem Melayu itu
berkongsi suka-duka mereka sepanjang menceburi dunia seni.

Tidak mahu mengecewakan mereka, majlis tersebut telah ditangguhkan setengah jam bagi membolehkan pihak penganjur menyediakan tempat duduk tambahan untuk menampung 350 penonton.

Sorakan gemuruh menggegarkan dewan acara sebaik sahaja Wahid Satay dan Zaiton Abdullah melangkah masuk, menunjukkan betapa para peminat benar-benar teruja kerana berpeluang menemui seniman dan seniwati kegemaran mereka yang sudah lama tidak kelihatan.

Acara dua jam di Wisma Geylang Serai itu menyanjung budi kedua-dua pelopor seni itu atas sumbangan mereka dalam filem klasik Melayu.

Lagu-lagu popular nyanyian Wahid Satay serta lagu-lagu yang pernah dimimik Zaiton Abdullah dalam lakonannya turut didendangkan, menggamit nostalgia sepanjang gelaran mereka sebagai anak seni.

SHAW BROTHERS DAN CATHAY KERIS, APA BEZANYA?

Selain menceritakan kisah-kisah di balik tabir dan pengalaman-pengalaman yang tidak luput dari ingatan, mereka juga berkongsi tentang keadaan bekerja yang berbeza antara syarikat Shaw Brothers dengan Cathay Keris Film Productions - dua pemain utama dalam industri perfileman tempatan semasa era 1950-an hingga 1960-an.

Misalnya, Cathay Keris membayar gaji yang lebih muai berbanding Shaw Brothers dan para seniman di bawah naungan Shaw Brothers disediakan "rumah berek" manakala mereka yang terikat dengan Cathay Keris pula perlu mencari tempat kediaman sendiri.

Sungguhpun begitu di bawah Shaw Brothers, bintang filem Raja Bersiung, Ibu Mertuaku dan Lela Manja, Zaiton Abdullah, berpeluang menjejakkan kaki ke Hollywood mewakili Singapura.

Ketika itu, beliau 'pusing' seluruh Amerika Syarikat dua kali dalam masa dua tahun berturut-turut menaiki pesawat Pan Pacific Airways dengan menyarungkan persalinan kebaya.

"Saya rasa sangat besar hati kerana saya masih dihormati dan juga saya banyak jumpa kawan-kawan lama yang sudah lama tidak jumpa," ujar Zaiton Abdullah tersentuh.

Di awal kerjayanya, Wahid Satay atau lebih mesra disapa Pak Wahid, merupakan seorang kelasi kapal sebelum menjadi tukang kayu bersama Cathay Keris Film Productions.

Perwatakannya yang candi telah menarik perhatian pihak penerbitan sehingga bakatnya dicungkil dalam bidang lakonan.

Antara filem-filem terkenal yang mengharumkan nama Wahid Satay termasuk Badang, Anak Dara dan Pontianak.

"Apa sahaja (dikongsi), mudah-mudahan acara ini berjaya membawa satu perasaan yang baik," luah Wahid Satay sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur atas kesempatan yang diberikan itu.

Dalam bersenda tawa, majlis itu turut memperingati permata dan penggiat seni yang pernah menyerikan industri perfileman Melayu suatu masa dahulu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan