Skip to main content

Hiburan

Vokalis Megadeth Dave Mustaine sahkan hidap barah tekak

Berita buruk bagi para peminat genre muzik heavy metal, khususnya kugiran Amerika Syarikat, Megadeth - vokalis Dave Mustaine sedang bertarung dengan barah tekak.

Anggaran Waktu Membaca:
Vokalis Megadeth Dave Mustaine sahkan hidap barah tekak

(Gambar: Instagram/Dave Mustaine)

BERITAmediacorp: Berita buruk bagi para peminat genre muzik heavy metal, khususnya kugiran Amerika Syarikat, Megadeth - vokalis Dave Mustaine sedang bertarung dengan barah tekak.

Dalam satu pengumuman di laman Instagramnya pada Selasa (18 Jun), vokalis dan pemain gitar utama kugiran itu mendedahkan kepada para peminatnya beliau sudahpun memulakan rawatan.

"Saya sedang bekerja rapat dengan para doktor dan kami sudah melakarkan pelan rawatan yang menurut mereka mempunyai 90% peluang berjaya. Rawatan sudahpun bermula," tulis Mustaine, 57 tahun.

'KETEPIKAN YANG LAIN, UTAMAKAN RAWATAN'

Lantaran itu, tambah beliau, kebanyakan tarikh konsert tahun ini perlu dibatalkan.

Ini turut disahkan pemain bes dan pengasas bersama kugiran itu, David Ellefson dalam wawancara bersama The Classic Metal Show.

"Ia menjadi satu realiti bagi kami, hakikatnya rawatan perlu dilakukan dengan betul, arahan doktor perlu dituruti. Dave tidak boleh jalani rawatan barah dan masih buat persembahan konsert besar-besaran. Kami perlu ketepikan yang lain dan utamakan ini," ujar Ellefson dalam wawancara yang diterbitkan Loudwire pada Selasa.

MEGACRUISE, ALBUM BARU DITERUSKAN

Meskipun menghadapi masalah kesihatan yang begitu buruk, Mustaine sempat berkongsi secebis berita gembira bagi para peminatnya.

Dalam pengumuman Isnin, beliau menjanjikan acara Megacruise 2019 akan diteruskan, dan kugiran itu sedang menyiapkan album terbaru mereka.

Menurut laporan BBC, Megacruise adalah acara layar lima hari yang merangkumi persembahan, 'masterclass' dan sesi bertemu dengan para peminat.

Sementara itu, rakan-rakan seangkatan beliau menyuarakan kata-kata sokongan sejak pengumuman dibuat pada Isnin.

'BARAH TIDAK AKAN KALAHKANNYA'

"Amat berdukacita mendapat tahu tentang diagnosis @DaveMustaine. Semoga cepat sembuh, sahabatku. Anda sentiasa dalam ingatan dan kami sentiasa mengenang masa-masa indah mengadakan konsert bersama," tulis Tony Iommi, pemain gitar Black Sabbath.

"Doa dan ingatan kami ditujukan kepada rakan kami. Barah tidak ada peluang kalahkan lelaki ini!" tambah pemain dram Mike Portnoy, anggota Dream Theater, seperti dilaporkan BBC.

Ini bukan kali pertama kugiran Megadeth - yang diasaskan pada 1983 selepas Mustaine keluar dari Metallica - menghadapi cabaran berkaitan masalah kesihatan.

Selain mengalami kegenjotan akibat masalah ketagihan dadah yang dilalui Mustaine pada 1990, BBC melaporkan riwayat kumpulan itu hampir-hampir tamat pada 2002 apabila satu kejadian menyebabkan kerosakan pada saraf pemain gitar itu.

Para doktor pada ketika itu memberitahunya beliau mungkin akan pulih 80 peratus namun tidak dapat bermain gitar lagi.

(Gambar: Instagram/Megadeth)

(Gambar: Instagram/Megadeth)

Namun, Mustaine menunjukkan kecekalan dan menjalani sesi terapi yang menyakitkan selama 18 bulan dan kembali beraksi atas pentas pada 2004.

Mustaine kini mungkin boleh dikatakan melalui 'In My Darkest Hour'(nama lagu Megadeth yang bermaksud ‘saat-saat gelapku’), namun rakan industri muzik dan para peminat pasti menantikan beliau sekali lagi mengatasi masalah kesihatan ini seperti yang beliau lakukan pada 2004.

Sumber : BERITA Mediacorp/Agensi berita/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita