Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Vokalis kugiran Jinbara diserang angin ahmar, jalani pembedahan

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Vokalis kugiran Jinbara, Along kini di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menjalani pembedahan mengeluarkan cecair di bahagian otak pada Sabtu (9 Sep).

Pemain dram Jinbara, Shahrin Sabudin atau Ahtan berkata, Along menjalani pembedahan memasang tiub sekitar pukul 2.45 petang dan pembedahan tersebut berjalan dengan lancar, lapor Harian Metro.

"Keluarganya memaklumkan keadaan Along dilaporkan stabil. Dia juga sudah mula menunjukkan respon menerusi pergerakan jari, bibir dan mata.

"Tapi banyak pergerakan pada bahagian mata. Respon pergerakan mata dan anggota badan selepas pembedahan terbabit juga adalah petanda baik.

"Kami semua berharap agar Along sedar untuk lawan ubat tidur yang diberikan. Kena bagi masa satu hingga dua hari untuk dia sedar sepenuhnya," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, Along mengalami serangan angin ahmar pada pagi Jumaat lalu, sekitar pukul 5.00 pagi.

"Sehari sebelum itu (Khamis) kami ada temubual dengan radio Astro untuk promosi single terbaru Kurniaku Terindah terbitan Luncai Emas Sdn Bhd.

"Petang itu dengan THR Gegar, manakala malam dengan Sinar FM. Waktu itu nampak dia tiada masalah, semuanya okey.

"Semuanya berjalan lancar. Balik dari Astro kami praktis di studio untuk show di Kluang, Johor.

"Menurutnya isterinya, apabila balik rumah, Along lapar dan makan. Dan sekitar pukul 4.00 pagi dia kejutkan isterinya beritahu dia pening-pening dan tumbang," katanya.

Ketika itu, Along masih memberikan respon sehinggalah muntah dan terus pengsan. Isterinya segera menghubungi ambulans untuk dikejarkan ke hospital.

"Saya dihubungi isterinya sekitar pukul 4.45 pagi dan minta hantarkan Along ke hospital terdekat.

"Saya bergegas ke HKL pada pukul 9.00 pagi semalam dan keadaannya tak sedarkan diri.

"Doktor terus memasukkan tiub dan buat imbasan CT dan nampak ada pendarahan dalam otak. Selepas itu keluarganya maklumkan ada lebihan air pula yang bertakung di bahagian otak," katanya.

Along atau nama sebenarnya, Syah Nizam Ahmad Shamsi, menyertai Jinbara pada 2022 dan terbabit dengan single Kurniaku Terindah ciptaan M Nasir.

"Untuk persembahan di Kluang malam tadi, kami menggunakan khidmat Cidin Tuah yang pernah bersama Jinbara dahulu.

"Along harus berehat dan kami akan fikirkan penggantinya untuk sementara waktu," katanya.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan