Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Ustaz Kazim Elias tanggalkan solekan ketika siaran langsung, tunjuk kesan penyakit misteri

Anggaran Waktu Membaca:
Ustaz Kazim Elias tanggalkan solekan ketika siaran langsung, tunjuk kesan penyakit misteri

Gambar: Youtube/MeleTOP

Diterbitkan : 26 May 2022 11:10AM Dikemas Kini : 26 May 2022 11:11AM
KUALA LUMPUR: Derita yang ditanggung oleh pendakwah bebas, Ustaz Mohd Kazim Elias, seperti yang dijelaskan dalam perkongsian di Facebooknya baru-baru ini sememangnya mengejutkan ramai.

Beliau memaklumkan mengalami penyakit misteri apabila kulit wajah, kaki, perut dan beberapa bahagian lagi di badan menjadi kehitaman serta mengeluarkan darah, seperti dinukil portal ohmymedia.

Disebabkan tidak tahan lagi dengan hal tersebut, beliau memuat naik keadaan terkini dirinya ke Facebook dan memohon agar orang ramai dapat membantunya kerana sudah buntu untuk mencari rawatan yang sesuai.
Berikutan itu, pihak rancangan MeleTOP menjemput Ustaz Kazim ke studio secara langsung dan bertanya serba sedikit berkenaan keadaan kesihatannya saat ini.

Apa yang membuatkan ramai sayu, terutamanya dua pengacara MeleTOP iaitu Ahmad Nabil Ahmad dan Elly Mazlein, adalah ketika pendakwah berkenaan menanggalkan solekan di muka serta menunjukkan kesan penyakit yang dihidapi di kaki, lapor ohmymedia.

Bercerita lanjut mengenai masalah yang dihadapi, Ustaz Kazim menjelaskan amat sukar untuk tidur pada waktu malam. Beliau berkata sebenarnya, sudah ramai pengamal perubatan serta doktor yang ditemuinya untuk mendapatkan rawatan bagi penyakitnya itu.

Namun, ia masih lagi belum beransur pulih sehingga kini. Bukan hanya itu, Ustaz Kazim juga memaklumkan dirinya pernah sebulan tidak boleh membuang air kecil dan sewaktu mendapatkan rawatan, doktor menjelaskan ada satu ‘benda’ putih yang menggangu saluran kencing, seperti dipetik ohmymedia.

Akan tetapi, ‘benda’ tersebut seakan ‘lari’ dan sehingga kini masih belum dikeluarkan.

Menjengah ke ruangan Instagram rancangan MeleTOP, ramai yang mendoakan agar pendakwah bebas itu segera sembuh dan diberi kesihatan yang baik.

Mereka juga menzahirkan rasa sedih melihat keadaan Ustaz Kazim dengan beberapa bahagian tubuhnya menjadi hitam akibat kesan daripada penyakit misteri yang dihidapi.
Sumber : Sumber Web/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan